Annuar Musa Harap Kempen PRK Sungai Kandis Berjalan Lancar

SHAH ALAM, 21 Julai – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berharap kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berjalan lancar dengan masing-masing dapat menyampaikan mesej-mesej tertentu kepada pengundi.

Menurut beliau, bagi Barisan Nasional (BN) ruang yang ada ini adalah untuk memberikan peluang kepada rakyat khususnya pengundi di kawasan berkenaan.

“Kita tahu majoritinya agak jauh dan kita berada di peringkat yang orang kata proses pemulihan selepas PRU lalu tetapi daripada sudut yang lain, ini adalah sebahagian daripada demokrasi. Peluang untuk rakyat menyuarakan isi hati mereka.

“Jadi kalau BN tidak menyertai PRK ini, kita merasakan rakyat akan ‘frust’. Jadi kita lebih anggap ini sebagai peluang untuk kita memberi peluang kepada rakyat. Kita mahu prosesnya berjalan baik daripada penamaan calon sehingga ke proses  mengundi dan kemudiannya dalam tempoh berkempen itu masing-masing akan dapat menyampaikan mesej-mesej yang tertentu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada hari penamaan calon PRK Dun Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh seterusnya berkata PRK Sungai Kandis memperlihatkan keupayaan memecahkan benteng yang selama ini terhalang.

“Saya tidak kata kita bekerjasama secara rasmi tetapi sekurang-kurangnya kita dapat pecahkan satu benteng yang sangat lama terbina. Itu maksud saya proses. Sebab itu kita duduk dan berunding dengan Pas, bertanya kalau Pas nak masuk macam mana kita timbang dan kalau Pas tidak masuk macam mana kita timbang.

“Apa pun biarlah proses pilihan raya ini  berjalan dan saya fikir baik untuk rakyat dan kita mahu kempen berlangsung dalam suasana penuh keharmonian kerana saya melihat tidak semestinya yang mengundi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mungkin akan kekal mengundi PH. Mereka mempunyai kebebasan untuk memberikan  tanggapan  tertentu atas apa yang berlaku kepada pihak kerajaan,” katanya. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit