Senarai Penuh Jawatankuasa UMNO Pulau Pinang Dua Minggu Lagi

GEORGE TOWN, 15 Julai  – Anggota Jawatakuasa Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang baharu akan ditentukan selepas mesyuarat pertama yang dijangkan akan diadakan dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu dilantik Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata beliau memerlukan masa untuk mengadakan perbincangan dengan semua ketua-ketua bahagian, pemuda dan puteri UMNO negeri bagi menentukan hala tuju parti.

“Saya baru dilantik semalam jadi saya perlukan masa untuk berjumpa dengan mereka (ketua bahagian, pemuda dan puteri) sebelum mengadakan mesyuarat diperingkat negeri bagi menentukan anggota jawatankuasa yang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO negeri dijangka akan diadakan dalam dua hingga tiga minggu ini dan senarai penuh jawatan kuasa negeri akan diumumkan selepas mesyuarat itu.

“Saya akan berusaha untuk laksanakan tugas yang diamanahkan ini dengan baik dan berharap semua anggota  UMNO di Pulau Pinang memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan mengumumkan barisan Anggota Majlis Tertinggi parti itu bagi lantikan penggal 2018-2021 termasuk senarai pengerusi, timbalan pengerusi serta setiausaha badan perhubungan di semua negeri.

Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam sebelum ini Setiausaha UMNO negeri telah dilantik menggantikan Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang mengundur diri dan tidak mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal.

Beliau juga berkata pejuangan dan hala tuju UMNO akan ada perbezaan berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana parti itu kini merupakan pembangkang di Malaysia.

Musa berkata di Pulau Pinang, UMNO akan menjadi pembangkang yang bijak dan tidak akan membangkang semata-mata untuk membangkang kerajaan kini.

“Kita bukan macam pembangkang dulu, apa sahaja kerajaan buat dia orang akan bangkang, betul tak betul semua dia orang bangkang. Kita nak jadi pembangkang yang bijak, sekiranya kerajaan yang betul untuk kebaikkan dan manfaat rakyat kita akan sokong kalau mereka buat apa-apa yang tak betul membelakangi rakyat, kita akan tegur dengan cara yang betul dan baik,” katanya.

Turut diumum Ahmad Zahid semalam adalan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang akan disandang oleh Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin manakala jawatan Setiausaha akan disandang oleh Datuk Shah Headan Ayoob Hussein Shah

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit