PRK Sungai Kandis Ujian UMNO Mantap Kedudukan, Kembali Keyakinan Rakyat
PASIR SALAK, 13 Julai – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan menjadi ujian dan masa terbaik bagi UMNO memantapkan semula kedudukannya dan mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti politik pembangkang itu.
Anggota Veteran UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata sebagai pembangkang yang memegang konsep “check and balance” (semak dan imbang), PRK itu menjadi platform terbaik buat mereka membentangkan pelbagai kelemahan janji-janji dalam manifesto kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang berkaitan kepentingan rakyat.
“Bagi saya meskipun PH baharu memenangi PRU-14 tetapi tidak bermakna kita (BN) tidak ada peluang sebab kita mempunyai banyak modal dan isu yang boleh diketengahkan dalam kalangan pengundi di sana yang menunjukkan kelemahan yang begitu serius dan kritikal.
“Saya rasa ramai pengundi di sana yang tidak senang hati, tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat mereka (kerajaan) antaranya ancaman kepada Institusi Raja-Raja Melayu, orang Melayu, kepentingan agama Islam dan pekerja Melayu. Kita boleh bawa isu ini untuk pengadilan kepada pengundi di sana,” kata bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu.
Tajuddin, yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak, berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada 104 bakal jemaah haji kawasan Parlimen Pasir Salak di Chenderong Balai dekat sini hari ini.
Mengenai cadangan penggunaan logo UMNO pada PRK itu, katanya cadangan itu boleh dibuat jika ia membawa lebih banyak kelebihan untuk BN memenangi PRK berkenaan.
“Yang paling penting strategi kita kena betul iaitu dari segi pemilihan calon, penggunaan logo, bertanding satu lawan satu atau tiga penjuru. Semuanya kena dikaji secara mendalam dan kalau cara itu bakal memihak kepada kita, saya rasa tidak salah untuk kita lakukan cadangan berkenaan,” katanya.