Genap Dua Bulan… Semak 10 Janji 100 Hari Pakatan Harapan

Hari ini genap 2 bulan sejak Pakatan Harapan memegang tampuk pentadbiran kerajaan. Bermakna kurang 40 hari untuk mereka menunaikan 10 janji 100 hari mereka. Semakan terhadap janji tersebut adalah seperti ini:

*1) Menghapuskan  GST  dan  mengurangkan  kos  sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.*

Belum ditunaikan!

GST belum dihapuskan, hanya dikadar sifarkan. Dijangka akan ada pembentangan memansuh akta GST pada sidang Dewan Rakyat bermula minggu depan. Kadar sifar GST tidak terbukti mengurangkan harga barangan. Tiada juga pengenalan apa-apa inisiatif peduli rakyat.

*2) Menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.*

Belum terlaksana!

Harga RON95 sebelum PRU-14 masih kekal dan akan terus kekal sehingga akhir tahun. Kerajaan tidak melaksanakan subsidi bersasar sebaliknya kembali semula kepada subsidi pukal yang memberi lebih banyak kelebihan kepada golongan berpendapatan tinggi berbanding golongan yang memerlukan. Sistem subsidi pukal sebelum ini dikritik oleh badan antarabangsaa seperti Bank Dunia.

*3) Menghapuskan  hutang-hutang  tidak  wajar  yang dipaksa ke atas peneroka FELDA.*

Belum dilaksana!

Masih belum ada perkembangan lanjut berkaitan janji ini. Sebaliknya terdapat aduan dari peneroka FELDA yang masih belum menerima pembayaran wang sara hidup bulanan.

*4) Memperkenalkan  skim  caruman  KWSP  untuk  suri rumah*

Ditangguhkan!

Kerajaan memberi alasan masalah kewangan negara menyebabkan janji ini tidak dapat dilaksanakan buat masa ini. Kerajaan juga memberi alasan peruntukan undang-undang tidak membenarkan perkara ini. Tiada kepastian sama ada akan terdapat pindaan terhadap akta KWSP pada sesi parlimen akan datang.

*5) Menyamaratakan  gaji  minimum  seluruh  negara dan seterusnya  memulakan proses  meningkatkan gaji minimum.*

Belum tertunai!

Menteri Tenaga Kerja telah menyatakan gaji minimum baharu sektor swasta akan diumumkan pada bulan Ogos. Perintah Gaji Minimum setiap 2 tahun yang diperkenalkan kerajaan BN sememangnya akan tamat pada tahun ink selepas pelarasan terakhir pada 2016. Tun Dr Mahathir sebelum ini pernah menyatakan gaji minimum akan menjejaskan peniaga kecil.

*6) Menangguhkan  pembayaran  balik  pinjaman PTPTN kepada  semua  peminjam  yang mendapat  gaji  kurang  dari  RM4000  sebulan dan  memansuhkan  dasar  senarai  hitam  ke  atas peminjam.*

Hanya sebahagian!

Peminjam yang disenarai hitam sebelum ini telah dibebaskan dari sekatan perjalanan namun penangguhan bayaran sehingga gaji RM4,000 tidak dapat dilaksanakan atas alasan kedudukan kewangan negara.

*7) Menubuhkan  Suruhanjaya  Siasatan  DiRaja  1MDB, FELDA,  MARA  dan  Tabung  Haji,  dan  merombak semula struktur kepimpinan mereka.*

Tiada Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan, siasatan hanya diperingkat jawatankuasa siasatan.

*8) Menubuhkan  Jawatankuasa  Khas  Kabinet  untuk segera  menyemak  dan  melaksanakan  Perjanjian Malaysia 1963.*

Tiada perkembangan!

Sebaliknya Petronas telah memfailkan petisyen bagi mendapat perisytiharan memiliki kuasa eksklusif bagi mengawal selia industri minyak dan gas di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak.

*9) Memperkenalkan  Skim  Peduli  Sihat  dengan memberi  RM500  pembiayaan  untuk  rawatan asas  di  klinik  swasta  berdaftar  untuk  golongan B40.*

Belum ditunaikan!

Kerajaan baru hendak menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji skim ini.

*10) Melancarkan  kajian  terperinci  mengenai  projek-projek  mega  yang  dianugerahkan  kepada negara asing.*

Belum terlaksana!

Tiada apa-apa hasil kajian secara lanjut dibentangkan untuk apa-apa projek mega. Sebaliknya kos pembinaan ECRL naik dari RM55 bilion kepada lebih RM80 bilion di bawah pentadbiran PH.

Shahril Sufian Hamdan (Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia)

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit