Harga Kekal Sama Walaupun GST Sifar – Persatuan Pengguna

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata pihaknya menerima aduan daripada orang ramai akan tiadanya perubahan harga pada kebanyakan barangan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar sejak 1 Jun lepas.

Timbalan Presidennya Mohd Yusof Abdul Rahman menggesa kerajaan supaya membuat pemantauan harga barangan keperluan asas kerana tiadanya perubahan pada harga seperti yang diharapkan rakyat dan kerajaan.

“Kita menerima aduan menerusi e-mel atau laman sosial Facebook tentang harga barangan yang tidak berubah walaupun GST sifar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini dan menambah bagaimanapun pihaknya tidak menerima aduan mengenai harga barangan yang semakin mahal.

Selain itu, Mohd Yusof berkata senarai jenis barangan keperluan yang sepatutnya turun harga perlu didedahkan kepada pengguna supaya mereka peka dengan perbezaan harga barangan semasa berbelanja.

“Dengan mendedahkan jenis barangan yang sepatutnya turun harga selepas cukai GST pada kadar sifar dapat mengelakkan kekeliruan,” katanya dan berharap kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak mematuhi arahan pihak berkuasa  untuk tidak mengenakan cukai sebanyak enam peratus itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini berkata bahawa 70 peratus daripada barangan keperluan menyaksikan penurunan harga sejak pelaksanaan GST pada kadar sifar dan ini diragui pelbagai pihak.

Beliau berkata penurunan harga barang dikesan berdasarkan tinjauan kementerian dari 1 Jun sehingga 30 Jun lepas.

Sementara itu, ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan yang tidak menafikan bahawa penurunan harga barangan selepas pelaksanaan GST pada kadar sifar masih belum lagi menjadi kenyataan, menasihatkan pengguna menjadi “mata dan mulut” kepada pihak berkuasa untuk mengatasi masalah itu.

“Pengguna perlu bersikap proaktif supaya peniaga tidak mengambil kesempatan dalam hal ini. Jika buat laporan terhadap pihak berkuasa mengenai salah laku peniaga, tolong sertakan sekali maklumat lanjut termasuk bukti transaksi untuk memudahkan siasatan oleh pihak penguat kuasa.

“Penguatkuasaan  perlu diperhebatkan dengan memantau harga barangan di premis perniagaan untuk memastikan enam peratus GST itu tidak dikenakan lagi terhadap barangan,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) Datuk Jacob George pula berkata pihaknya mendapati tidak ada petunjuk jelas akan adanya penurunan harga bagi barangan seperti yang dikatakan menteri itu.

“Hasil pemerhatian pihak kami hampir di seluruh negara dan juga melalui pertemuan dan perbincangan dengan golongan sasar termasuk pengguna, tiada sebarang perubahan harga terhadap barangan seperti yang dikatakan. Kalau ada pun cuma satu atau dua barangan sahaja,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan menteri tentang penurunan harga barangan itu adalah tidak realistik.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit