Najib Lahir Rasa Terharu, Sumbangan Tanda UMNO Sentiasa Sayangkan Pemimpinnya

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa terharu dengan sumbangan yang diterima baik daripada ahli UMNO mahupun bukan yang sanggup menyumbang bagi membayar wang ikat jamin beliau.

Jelas beliau, apa yang dilakukan ini amat memberi makna kepada dirinya dan keluarga kerana ia bukanlah sesuatu yang dirancang melalui arahan tetapi ia datang dari hati yang penuh ikhlas.

“Saya berasa amat terharu dengan sumbangan ini. Ini menunjukkan mereka masih sayang kepada saya dan menunjukkan bahawa ahli-ahli UMNO sayangkan pemimpinnya. Saya ucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga.

“Apa yang dilakukan ini tidak boleh dibuat sebagai satu arahan yang dirancang tetapi ia datang dari hati nurani yang ikhlas. Inilah sumbangan yang paling bermakna datangnya dari ahli UMNO,” ujar beliau kepada orang ramai di perkarangan mahkamah Jalan Duta hari ini.

Beliau menerima sumbangan ‘Tabung Solidariti Bebaskan Najib’ daripada Ketua Sekretariat Solidariti Najib Razak, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berjumlah RM489,166 dan semalam, sumabngan dari Pergerakan Wanita UMNO serta Ketua-ketua UMNO Bahagian.

Datuk Seri Najib tiba di mahkamah hari ini bagi membayar baki ikat jamin terhadap dirinya atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Bayaran itu dibuat dua anaknya iaitu Nooryana Najwa dan Norashman melunaskan baki bayaran jaminan berjumlah RM500,000 – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit