Lantikan Aisyah Sebagai Penasihat Satu Pembaziran, Sogokan Tutup Mulut – NGO Perak


IPOH, 9 Julai – Barisan NGO Negeri Perak membidas kerajaan negeri apabila melantik Ke­­tua Penerangan PKR Perak, Senator Siti Aishah Shaik Ismail, sebagai penasihat kerajaan negeri bertaraf Exco di mana pertubuhan itu menyifatkan pelantikan tersebut hanyalah sebagai usaha untuk menutup mulut dan bukannya satu keperluan, memandangkan perbuatan pemimpin Dap yang didakwa memberikan tekanan kepada beliau untuk menarik diri daripada bertanding jawatan speaker DUN terdedah.

Menurut Pengerusinya, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar, perbuatan melantik Aisyah menjadi penasihat Menteri Besar bertaraf exco itu dibuat bukanlah berdasarkan keperluan, tetapi lebih berdasarkan sogokan agar Aisyah senyap daripada terus bersuara tentang isu tersebut.

“Dalam keadaan kerajaan yang kononnya ingin mengurangkan kos perbelanjaan negara dan negeri, sehingga mereka tergamak menamatkan pekerja kontrak kerajaan berjumlah 17,000 orang.

“Hari ini boleh pula kerajaan negeri Perak melantik seorang penasihat bertaraf exco yang jelas bertujuan untuk mengambil hati untuk menutup mulut ADUN, sedangkan tidak ada keperluan bagi melantiknya bagi jawatan exco tersebut.

“Ini jelas memperlihatkan, bahawa dakwaan kerajaan untuk mengurangkan perbelajaan negeri dan negara hanyalah retorik politik semata-mata. Tindakan melantik penasihat hanya kerana sebagai imbuhan untuk menutup mulut agar tidak bersuara lagi hanyalah satu pembaziran, namun mereka tidak kisah sekiranya ia mempunyai kepentingan untuk parti dan matlamat politik mereka.

“Ini kerana mereka bimbang Aisyah terus bersuara tentang campur tangan Dap dalam pemilihan speaker DUN, yang ternyata bertentangan dengan demokrasi apabila cuba memberikan tekanan kepada Aisyah agar  menarik diri,” tegasnya ketika dihubungi UMNO Online di sini hari ini.

Tambah beliau, tindakan Setiausaha Dun Perak yang hanya mengumumkan tiga nama sahaja sudah seolah-olah  memberikan gambaran, bahawa ada tangan-tangan ghaib Dap yang cuba mencatur perjalanan sidang DUN di negeri tersebut.

“Sebab itulah ADUN BN bangun membantah kerana ia jelas ada percaturan tertentu, termasuklah memberikan tekanan kepada calon agar menarik diri bagi merealisasikan hasrat Dap untuk melantik Ngeh Ko Ham sebagai speaker DUN,” tegasnya.

Pada hari pembukaan sidang DUN Negeri Perak, kekecohan tercetus selepas Setiausaha DUN, Kamarulariffin Ayub mengumumkan hanya tiga calon iaitu Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham (Pakatan Harapan) bekas Timbalan Speaker, Datuk Nasarudin Hashim daripada Barisan Nasional (BN) dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Mohd. Misbahul Munir Masduki (Pas) sahaja yang bertanding untuk jawatan tersebut.

Keadaan menjadi semakin kecoh apabila pembangkang teruss mendesak penjelasan secara rasmi mengenai perkara tersebut  dan akhirnya Setiausaha DUN Perak memaklumkan bahawa  calon berkenaan telah menarik diri.-MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit