Ubah Cara Dan Strategi Berfikir Dalam Usaha Memperkasakan Parti – Dr Fathul Bari
KUALA LUMPUR, 5 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya melontarkan visi dan misinya untuk membantu parti dengan memberi penekanan kepada soal ubah cara berfikir serta strategi berfikir itu sendiri dalam memperkasakan parti.
Beliau antara muka baru yang terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi pada pemilihan UMNO yang lalu seterusnya menegaskan UMNO hari ini bukanlah sebuah kerajaan sebaliknya sebagai parti pembangkang.
“Misi dan harapan saya ada dua perkara sahaja iaitu ubah…iaitu ubah cara berfikir dan keduanya ubah strategi berfikir. Kita kena berfikir seperti pembangkang pada hari ini dan bukan lagi kerajaan.
“Kita berada di pihak pembangkang maknanya kita kena bekerja keras yang mana bukan sahaja pembangkang yang idealis tetapi progresif, proaktif dan kita ‘engaged’ balik dengan masyarakat.
“Soal merakyatkan UMNO perlu dilaksanakan sepenuhnya dan berapa lama kita telah bercakap soal ini cumanya mungkin sebelum ini kita ada kelalaian dan kealpaan. Semua ini kita perbaiki dan kita perbetulkan dan kita sama-sama laksanakannya,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau seterusnya menambah pelbagai strategi lain teramsuklah mendekati golongan muda juga perlu ada pengubahsuaian.
“Begitu juga soal gerak kerja…strategi mendekati orang muda…jangan kita ingat hanya dengan program-program tradisi yang kita buat seperti konvoi dan sebagainya . Walaupun kita tidak menafikan perkara berkenaan ada kebaikannya tetapi ada perkara yang lebih besar termasuklah melihat secara mendalam cara mereka berfikir.
“40 peratus pengundi muda yang tidak mengundi kita dan tidak bersama dengan kita kerana soal persepsi. Jadi walaupun ada benda-benda betul kesalahan dan kelemahan yang kita lakukan namun pada masa yang sama kita kena akui kegagalan dan kelemahan mengurus persepsi mereka,” ujarnya.
Katanya lagi banyak perkara dan impian yang ingin dilontarkan namun ianya perlu melalui beberapa proses termasuklah mesyuarat pertama Majlis Tertinggi.
“Saya akan lihat apa ‘direction’ daripada presiden. Sekarang ini dunia dan pandangan hari ini terbuka dan kita juga mahu mengurus persepsi rakyat dan tidak ada lagi soal mahu mempertahankan mana-mana institusi .
“Salah tetap salah dan yang betul kita pertahankan dan kita sama-sama dokong. Kita dalam satu keluarga dan satu ukhuwwah namun perkara yang lebih besar pada hari ini adalah soal bagaimana mahu mengemablikan soal kepercayaan rakyat. Ini bukan soal ahli kita semata-mata tetapi juga mengambil kira pengimbangan sokongan ahli dan sokongan rakyat perlu menjadi visi utama UMNO hari ini,” katanya.
Pada masa yang sama beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada perwakilan serta rakan-rakan yang telah memberikan sokongan sehingga beliau terpilih pada pemilihan UMNO baru-baru ini. -MediaUMNO