Wanita Dan Puteri UMNO Bidas Ahli Parlimen BN Keluar Parti, Khianati Rakyat
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Tindakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas mengkhianati rakyat khususnya pengundi mereka, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.
Katanya, Wanita UMNO dengan ini menyatakan rasa kecewa yang mendalam terhadap pengumuman wakil-wakil rakyat BN untuk keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.
Tindakan ini bermula dengan Datuk Dr. Noor Azmi (Bagan Serai), Datuk Syed Husin (Bukit Gantang) dan yang terbaru Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Masjid Tanah.
“Keputusan dari Mas Ermieyati amat mengecewakan kerana beliau merupakan mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang bertaraf Naib Presiden UMNO.”
Ujarnya, keputusan ketiga-tiga wakil rakyat ini terutamanya Mas Ermieyati untuk menjadi wakil rakyat bebas ini ternyata telah mengkhianati kepercayaan pengundi-pengundi yang telah memilih mereka yang mewakili UMNO dan BN.
“Mas Ermieyati juga dengan mudah melupakan kerja kuat seluruh jentera Jalinan Rakyat dan BN yang bertungkus lumus semasa kempen PRU-14 sehingga beliau berjaya menang kerusi Parlimen Masjid Tanah.”
Selaras itu, katanya, Wanita UMNO ingin mengingatkan Mas Ermieyati dan wakil-wakil rakyat BN yang lain bahawa status Ahli Parlimen yang disandang bukanlah hanya kerana diri mereka sendiri tetapi ia merupakan kombinasi kerja kuat jentera Jalinan Rakyat dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN.
“Jika ada masalah atau isu dengan kepimpinan dan perjalanan UMNO, perkara ini patut dibincang bersama dengan baik di dalam UMNO hingga ke peringkat tertinggi.
“Jangan gunakan ketidakpuasan hati ini untuk keluar parti dengan alasan hilang kepercayaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ujarnya, jika benar wakil-wakil rakyat BN ini benar-benar hilang kepercayaan terhadap UMNO, Wanita UMNO mencabar supaya mereka melepaskan jawatan Ahli Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihanraya Kecil diadakan kerana kepercayaan rakyat mesti dihormati dan mereka mesti diberi hak untuk memilih wakil rakyat yang mewakili parti yang mereka percayai.
“Wanita UMNO juga akan berbincang dengan pasukan undang-undang UMNO untuk melihat cara bagaimana untuk menangani perkara ini supaya ia dapat dielakkan dari berulang kembali.
Pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat yang memilih Barisan Nasional oleh ahli-ahli parlimen dan ADUN yang melompat parti atau pun keluar menjadi Bebas perlu dihentikan.
Kepercayaan rakyat tidak boleh dijadikan alat untuk seseorang individu melunaskan kehendak politik peribadi.
Dalam hal ini Pergerakan Puteri UMNO turut senada dan melahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku.
Ketuanya, Datuk Zahida Khan berkata, beliau amat terkejut dengan keputusan tersebut.
“Sebagai seorang yang pernah menjadi ‘boss’ dalam puteri UMNO, kami mengharapkan beliau terus bersama-sama dalam saf perjuangan.
“Amat tidak wajar jika keputusan Pemilihan UMNO semalam menjadi antara faktor penyebab beliau meninggalkan parti kerana sebagai pemimpin yang mendokong amalan demokrasi, kita sepatutnya akur, terima keputusan para perwakilan UMNO dengan beralapang dada,” katanya dalam kenyataan berlainan.
Tegasnya, dalam perjuangan setiap individu mempunyai prinsip dan ideologi nya sendiri.
“Puteri UMNO akan terus melaksanakan perubahan dalam menangani penghijrahan dikalangan ahli yang sedia ada agar rapatkan saf dan terus yakin pada wadah perjuangan ini.
“Saya sebagai Ketua Sayap bongsu UMNO ini mengajak semua ahli-ahli terus istiqomah, tetapkan pendirian, teruskan perjuangan dan kita bangkit bersama-sama memperkukuh parti dan kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO.” – MediaUMNO