Tidak Ada Yang Kalah Dalam Pemilihan Ini – Zahid
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan kerana telah menunaikan tanggungjawab dengan tertib dan teratur dalam pemilihan UMNO di seluruh negara pada hari ini.
Menurut beliau, tidak ada yang kalah dalam proses pemilihan UMNO pada kali ini.
“YB Tengku Razaleigh Hamzah dan YB Khairy Jamaluddin adalah pemimpin yang diiktiraf sumbangan mereka, dan tetap diperlukan di dalam meniupkan semula roh baharu UMNO.
“Pelawaan saya terus terbuka untuk mereka bersama-sama kepimpinan baharu bagi menterjemahkan pembaharuan UMNO.
“Sesungguhnya pemilihan yang lancar ini adalah manifestasi ahli UMNO yang kasihkan parti serta mahu ia terus bangkit untuk relevan dalam pentas politik tanah air.
“Kita sudah bergerak untuk merakyatkan UMNO di dalam pemilihan kali ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua calon yang mengambil bahagian dalam pemilihan ini.
“Inilah kebebasan yang kita akan julang selama-lamanya. Inilah proses demokrasi yang dituntut oleh semua ahli, dan kita berjaya mengharunginya.
“Ini bukan kemenangan individu tetapi kemenangan kita semua, kemenangan UMNO dan ahli parti,” tegasnya.
Kata Zahid lagi, pemilihan terbuka ini memaparkan UMNO sudah melalui satu proses bersejarah untuk memilih semua jawatan di pelbagai peringkat termasuk di cawangan dan bahagian.
“Marilah kita merapatkan barisan dan bersama-sama berusaha menjadikan UMNO sebuah parti yang membela kepentingan rakyat.
“Rakyat amat mengharapkan UMNO terus memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
“Percayalah, ini simbol penyatuan kita dan ahli yang ada sekarang adalah orang Umno. Kita akan terus bergerak seiring dan sejalan,” jelasnya.
Zahid juga akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi secepat mungkin untuk membincangkan pendekatan yang diambil dalam manifesto semua calon presiden dalam masa yang terdekat ini. –MediaUMNO