Apa Guna Jadi Calon Presiden Popular Tetapi Tidak Boleh Ubah UMNO – Khairy

KUALA LUMPUR, 28 Jun – “Apa guna menjadi calon presiden UMNO yang popular jika tidak mendapat sokongan dan tidak mampu membawa perubahan drastik kepada parti?”

“Saya tidak menjual populariti sebagai aset utama kepada perwakilan. Saya banyak tekankan manifesto dalam kempen untuk perubahan dan penstrukturan semula parti. Mungkin antara ketiga-tiga calon, saya ada pengaruh tetapi yang lebih penting adalah apa hala tuju untuk membawa perubahan kepada parti.

Demikian reaksi spontan Khairy Jamaluddin ketika ditanya mengenai persepsi orang ramai bahawa beliau merupakan calon presiden versi selebiriti menjelang pemilihan parti Sabtu ini.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata seseorang presiden seharusnya dapat melaksanakan transformasi secara total kepada parti dan memperbaiki kelemahan yang ada sebelum boleh menjadi parti yang politik kuat.

“Kerana itu saya bawa manifesto untuk kita semua keluar dari kelemahan parti. Jadi mereka tidak akan lihat saya sebagai calon ada pengaruh luar tetapi calon yang fikirkan apa yang terbaik untuk mengubah parti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada pemilihan jawatan presiden UMNO kali ini ia bakal direbut lima calon Sabtu ini.

Lima calon yang disenaraikan itu ialah naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Khairy, anggota jawatankuasa UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin dari UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

Dua lagi yang sudah menghantar borang tetapi tidak disenaraikan ialah blogger, Rahmat Azim Abdul Aziz dan Ketua Konvoi Motosikal Ride for World #QuranHour yang juga Pengerusi Kelab Sukarelawan Hospital Kajang dari UMNO Kota Raja dan Yang Dipertua Melayu Islam Bersatu Malaysia, Rosilee Saat dari UMNO Bahagian Bangi.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit