Akaun UMNO Pusat, Selangor Dibekukan SPRM
JOHOR BAHRU, 28 Jun – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun UMNO pusat dan UMNO negeri Selangor.
Ahmad Zahid yang menjalankan tugas-tugas presiden berkata perkara itu diketahuinya sebentar tadi dan beliau berkeyakinan hampir pasti akaun UMNO negeri Johor turut dibekukan SPRM.
Beliau mendakwa Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membatalkan pertubuhan parti itu.
“Tidak ada jaminan sesiapa yang menang jawatan Presiden UMNO, anggota-anggota Majlis Tertinggi dan rakan-rakan Naib Presiden dan Timbalan Presiden yang menang tidak akan disiasat SPRM.
“…tiada jaminan mantan Menteri Besar Johor tidak disiasat SPRM, kerana kita bukan lagi kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis Hari Raya Aidilfitri UMNO Johor bersama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan beberapa anggota Majlis Tertinggi UMNO termasuk Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Ahmad Maslan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Dalam pada itu Ahmad Zahid yang merupakan calon presiden UMNO berkata beliau berjanji akan melakukan pembaharuan parti itu sekiranya diberikan mandat pada pemilihan majlis tertinggi parti, Sabtu ini.
“Kini Barisan Nasional (BN) sedang digugat, daripada 13 parti kini tinggal tiga parti…kita harus tahu apakah bentuk UMNO yang mahu dilihat dalam landskap politik yang berbeza hari ini setelah menjadi pembangkang.
“Untuk merelevankan UMNO, ia harus dirombak dari luar dan dari dalam…dan ini saya akan lakukan insyaAllah bersama-sama dengan Timbalan Presiden,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut berjanji beliau tidak akan meminggirkan dua calon lain iaitu Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam UMNO sekiranya beliau memenangi jawatan presiden parti.