Kelewatan Umum Senarai Penuh Kabinet Kerajaan Gusarkan Rakyat, Pelabur Asing
KUALA LUMPUR, 27 Jun – UMNO menggesa kerajaan agar mengumumkan segera barisan penuh kabinet baru memandangkan kelewatan pengumuman tersebut telah memberikan kesan terhadap para pelabur di luar negara termasuklah rakyat di negara ini.
Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO berkata, kini sudah hampir dua bulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara, namun rakyat masih ternanti-nanti pengumumaan rasmi senarai penuh Kabinet Kerajaan Persekutuan.
“Sehingga hari ini cuma senarai 15 anggota Kabinet telah diumumkan. Selain Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, turut diumumkan adalah 13 menteri iaitu Kewangan; Pertahanan; Menteri Keselamatan Dalam Negeri; Menteri Hal-Ehwal Ekonomi; Menteri Pendidikan; Pembangunan Luar Bandar; Wanita dan Pembangunan Keluarga; Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Menteri Pengangkutan; Komunikasi dan Multimedia; Tenaga Manusia; Pertanian dan Industri Asas Tani; serta Menteri Kesihatan.
“Malah, dalam fasa pertama Kabinet itu, ia juga diumumkan dalam dua peringkat iaitu pada 12 Mei 2018 bagi jawatan Perdana Menteri; Timbalan Perdana Menteri, Kewangan; Pertahanan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, manakala jawatan selebihnya diumumkan pada 18 Mei 2018.
“Selepas pengumuman Kabinet fasa pertama itu, pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin Kerajaan PH berhubung tarikh pengumuman senarai penuh Jemaah Menteri. Ada yang memberitahu pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat pada minggu pertama Jun, seminggu sebelum Aidilfitri dan minggu pertama selepas hari raya.
“Namun, sehingga hari ini belum ada lagi pengumuman rasmi berhubung perkara itu. Cuma yang ada ialah senarai penuh Kabinet yang ditular dalam media sosial sejak semalam dan pengakuan beberapa Ahli Parlimen PH bahawa mereka telah dihubungi oleh Perdana Menteri tanpa penjelasan lanjut,” jelas Unit Komunikas Strategik Ibu Pejabat UMNO dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Setakat ini, menurut kenyataan itu, tiada mana-mana pihak daripada Kerajaan PH mengesahkan atau menafikan senarai yang tular itu. Cuma yang ada ialah sumber kerajaan yang menyebut senarai penuh Kabinet yang viral di media sosial tidak memberikan gambaran tepat sepenuhnya.
Bahkan, Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO itu, terdapat juga rungutan dan rasa tidak puas hati beberapa rakan PH terhadap senarai yang tular itu. Antaranya DAP Sarawak apabila menggesa serta menuntut janji Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan PH dalam manifesto PRU ke-14 untuk melantik sekurang-kurangnya dua menteri dan tiga timbalan menteri daripada kalangan ahl Parlimen negeri itu.
“Apapun di sebalik ketiadaan pengumuman rasmi senarai penuh Kabinet oleh Kerajaan PH, Istana Negara telah memaklumkan istiadat mengangkat sumpah baki barisan Kabinet akan berlangsung di Istana Negara, pada 2 Julai ini.
“Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sudah menerima senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet pada 20 Jun lalu.
“Senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan dikembalikan semula kepada Pejabat Perdana Menteri pada 22 Jun lalu. Secara kelazimannya, Perdana Menteri akan terlebih dahulu membuat pengumuman rasmi senarai baki barisan Kabinet sebelum istiadat mengangkat sumpah dilangsungkan,”jelasnya.
Justeru, UMNO amat berharap senarai baki barisan Kabinet Kerajaan Persekutuan dapat diumumkan dalam kadar seberapa segera. Senarai penuh Jemaah Menteri amat penting bagi sesebuah kerajaan kerana merekalah yang akan mengemudi dan mencorakkan pentadbiran negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Pengumuman barisan penuh Kabinet Kerajaan Persekutuan bukan saja ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini, malah ia turut diberi perhatian oleh masyarakat antarabangsa, khususnya komuniti pelabur.
“Dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, belum pernah berlaku kelewatan pengumuman barisan penuh Kabinet Kerajaan Persekutuan. Ia biasanya dibereskan dalam tempoh kira-kira dua minggu selepas pembentukan kerajaan.
“Kelewatan yang terlalu lama juga dikhuatiri akan menggangu kelancaran pentadbiran jabatan kerajaan yang memerlukan kelulusan peringkat menteri. Jangan menghampakan harapan rakyat yang mahu kerajaan yang memberikan perkhidmatan terbaik dan bukannya kerajaan yang suka berdolak-dalik,” tegasnya.
Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO itu juga mengingatkan bahawa Perdana mantan Perdana Menteri, Dato Sri Najib Razak, telah melantik 12 Menteri dari Sabah dan Sarawak untuk memegang kementerian yang strategik.
“Dato Sri Najib melantik mereka atas sebab menghormati kedudukan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia dan memberi peluang yang lebih luas dan bermakna kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama menyumbang untuk membangunkan negara. Diharap Perdana Menteri tidak memperlekehkan kepentingan sumbangan Sarawak dan Sabah dalam membentuk Kabinet beliau,” akhirinya.-MediaUMNO