Ambil Pengajaran Perang Uhud Untuk UMNO Bangkit

KANGAR 26 Jun – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuntik semangat ahli UMNO agar mengambil sirah kekalahan sementara tentera Islam pada peperangan Uhud satu ketika dahulu untuk dihayati secara mendalam untuk dijadikan landasan kebangkitan parti.

Menurut beliau jika dikaji pada peperangan berkenaan tentera Islam mempunyai keyakinan yang tinggi untuk memenanginya namun disebabkan kealpaan dan akhirnya memberi peluang kepada musuh-musuh Islam yang berlindung di sebalik bukit Uhud untuk menyusun kembali strategi dan akhirnya mengalahkan tentera Islam.

“Jika kita mengkajinya pada peperangan tersebut tentera Islam telah mempunyai perasaan ‘over confident’, keyakinan yang terlalu lebih kerana sebelum itu tentera Islam telah mengalami kemenangan.

“Maka ketika itu, tentera Islam berebut ghanimah atau pun harta rampasan perang. Maka apabila dalam situasi berkenaan pihak musuh menyusun strategi di sebalik bukit dan apabila serangan dilakukan akhirnya tentera Islam kalah dalam peperangan tersebut”, katanya.

Namun jelas beliau Rasulullah s.a.w yang memimpin tentera Islam telah mengumpul dan menyusun semula strategi bagaimana untuk menyerang balas musuh-musuh yang telah mengalahkan tentera Islam di dalam peperangan Uhud itu.

“Dalam tempoh terdekat dengan mengumpulkan seluruh kekuatan panglima perang, mengumpulkan pemuda-pemuda, mengumpulkan kekuatan semula yang telah bertempiaran lari serta menyusun strategi yang baik, memberikan semangat yang tinggi akhirnya tentera Islam yang kalah di dalam peperangan Uhud telah berjaya dalam tempoh yang singkat untuk menang semula,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis pengenalan calon pemilihan UMNO 2018 dan sambutan hari raya Aidilfitri UMNO Perlis, di Dewan Warisan, di sini, hari ini.

Tegasnya lagi itulah semangat sirah daripada peperangan Uhud yang seharusnya dihayati oleh oleh ahli parti di dalam UMNO, insya Allah.

Dalam pada itu beliau seterusnya mengharapkan proses pemilihan yang sedang berjalan di seluruh negara dilakukan secara ukhuwwah dan secara persahabatan dan penuh kekeluargaan.

“Kita tidak mahu UMNO berpecah selepas pertandingan ini. Biduk lalu kiambang bertaut dan inilah semangat yang harus dihidupkan di dalam UMNO.

“Malah saya telah berjanji jika diberikan amanah nanti, siapa pun yang bertanding menawarkan diri sebagai presiden saya akan akan terus membawa kedua-dua lagi pesaing untuk bersama dengan saya menghidupkan UMNO dan mengelakkan sebarang perpecahan…insya Allah kerana UMNO ini adalah kepunyaan kita bersama. UMNO adalah wadah untuk orang Melayu,” katanya.-MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit