UMNO Mesti Terus Kukuh Untuk Rakyat Berdepan Kerajaan Serba Goyah – Zahid
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pemangku tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO perlu terus kukuh dan kuat dengan mengelakkan sebarang perpecahan dan masalah dalaman demi untuk rakyat dan negara.
Menurut beliau, jelas bahawa rakyat masih lagi mengharapkan UMNO untuk menjadi wakil kepada suara mereka terhadap kerajaan hari ini dan terbukti parti ini tidak ditolak secara total oleh rakyat terutamanya orang Melayu di negara ini sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“UMNO sebagai sebuah parti politik terbesar orang Melayu mesti terus kukuh tanpa ada perpecahan lagi yang boleh melemahkan parti. Saya yakin, rakyat juga mengharapkan UMNO terus dalam keadaan kuat dan kukuh kerana mereka mahu UMNO terus menyuarakan keluh kesah rakyat kepada kerajaan hari ini.
“Ramai yang bertemu dengan saya menyatakan rasa kesal kerana tersalah pilih kerajaan. Manakan tidak, kita lihat kerajaan hari ini begitu flip flop dalam kenyataan mereka. Contohnya seperti isu hutang negara yang kononnya berjumlah satu trilion sedangkan perkara itu jauh dari kebenaran.
“Kemudian diikuti kenyataan Menteri tentang isu tukang masak luar negara, bila dihentam rakyat tiba-tiba arahan menjadi cadangan sahaja,” ujarnya ketika berucap di program majlis sambutan hari raya UMNO Wilayah Persekutuan di Dewan Merdeka di sini, Isnin.
Selain itu, tambah Zahid lagi, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini jelas berada di dalam keadaan yang tidak stabil dan goyah ekoran tidak ada kesefahaman yang jitu di antara sesama mereka.
“Kita dapat lihat kerajaan hari ini masih tidak stabil. Mereka masih lagi berpolitik sesama mereka. Sebab itulah untuk melantik menteri kabinet pun ambil masa yang begitu lama. Mereka seolah-olah tidak peduli tentang hal rakyat. Bursa saham jatuh merudum, ringgit kita makin merosot, barang-barang semakin mahal biarpun GST disifark.
“Apa yang mereka tahu hanya untuk balas dendam, bongkar sana bongkar sini. Itu semua hanya propaganda politik mereka saja. Kita tahu semua itu.Sebab itu saya tegaskan, UMNO mesti terus kuat dan kukuh demi rakyat, demi negara kita,” akhirinya.-MediaUMNO