BN Selangor Dijangka Namakan Ketua Pembangkang Untuk DUN

SHAH ALAM, 26 Jun – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijangka  mempunyai  Ketua Pembangkang pada penggal ini selepas Barisan Nasional (BN) negeri dipercayai akan melantik seorang wakil rakyatnya ke jawatan itu yang kosong sejak Disember 2014.

Menurut Anggota Dewan Undangan (ADUN) Sungai Tawar  Rizam Ismail, beliau dimaklumkan perkara tersebut oleh pucuk pimpinan BN Selangor yang menamakan beliau sebagai antara calon yang akan dilantik  ke jawatan berkenaan.

“Setakat ini belum ada keputusan rasmi,” katanya selepas majlis  Mengangkat  Sumpah Jawatan ADUN pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN ke-14 di sini, hari ini.

BN Selangor yang menjadi pembangkang sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 tidak mengisi kekosongan yang ditinggalkan  Datuk Mohd Shamsudin Lias selepas  ADUN Sungai Burong itu meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan komposisi anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Selangor.

Mengulas lanjut, Rizam berkata sekiranya dilantik ke jawatan itu,  beliau akan memastikan kesemua wakil rakyat BN menjadi pembangkang yang berwibawa dengan memainkan peranan semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan.

Ditanya sama ada BN akan bekerjasama dengan satu-satunya ADUN PAS bagi kerusi Sijangkang  iaitu Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, beliau berkata mereka akan menjalinkan hubungan baik dan akan berjuang berdasarkan kehendak rakyat Selangor.

BN Selangor yang mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah PRU pada 9 Mei lalu kini hanya mempunyai empat ADUN berbanding 12 pada PRU13 dan 18 kerusi pada PRU12.

PAS pula yang bertindak keluar daripada pakatan pada PRU bulan lepas kini hanya mempunyai satu kerusi berbanding 12 pada PRU13 dan lapan pada PRU12.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit