Tarik Sokongan Generasi Muda Untuk Bangkit – Tengku Razaleigh

MELAKA, 25 Jun – UMNO tidak mungkin bangkit dan menebus kekalahan teruk yang dialaminya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 sekiranya parti itu gagal menarik sokongan serta kepercayaan generasi muda di negara ini, kata calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Tengku Hamzah.

Beliau berkata adalah amat penting untuk UMNO menarik sokongan dan kepercayaan generasi muda kerana golongan itulah yang akan membentuk kumpulan pengundi pada masa hadapan seterusnya menjadi penentu negara pada masa akan datang.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata pada PRU Ke-14, UMNO jelas ditolak oleh generasi muda di negara ini kerana perjuangan  UMNO itu dilihat kurang serasi dengan mereka, justeru itu,UMNO  perlu menyesuaikan dirinya dengan kehendak generasi muda itu sendiri.

“Saya rasa kita faham apa yang dikehendaki generasi muda, kita (UMNO) tidak akan kekal  kalau kita tidak sesuaikan dengan kehendak  mereka (generasi muda)…mereka adalah pengundi pada masa akan datang dan seterusnya.

“Apabila kita statik dan tidak berubah, tidak melayan kehendak mereka (untuk) jadikan (UMNO) sesuai dengan kehendak mereka, (kehendak mereka) sesuai dengan perjalanan dasar kita maka, kita akan ditinggalkan terus,” katanya pada sidang media selepas Sesi Ramah Mesra bersama calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Tengku Hamzah di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata antara faktor penting bagi menarik sokongan dan kepercayaan generasi muda ialah dengan membuktikan  bahawa UMNO mampu membela nasib mereka termasuk menyelesaikan masalah pekerjaan dalam kalangan generasi itu.

“Generasi muda ini ada kelulusan tetapi tiada kemahiran yang diperlukan majikan, maka lebih banyak latihan kemahiran yang bersesuaian dengan pekerjaan itu perlu disediakan untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata selain itu, UMNO juga perlu memberi ruang dan peluang kepada generasi itu untuk menyertai serta memegang sendiri jawatan dalam parti itu dalam usaha menarik sokongan serta kepercayaan golongan tersebut.

“Kita akan mendemokrasikan UMNO itu sendiri, kita beri peluang kepada mereka untuk sertai dan pegang jawatan. Ini kita buat jika hendak dapatkan kepercayaan generasi muda, apa guna ada parti tetapi tiada sokongan generasi muda. Tetapi yang tua pun kita perlu juga,” katanya.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit