Ketua Sayap Pergerakan Yang Baharu Contoh Tokoh Berdedikasi Dan Komited Memperjuangkan Parti

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pemilihan muka-muka baharu terajui sayap pergerakan parti bukanlah satu gambaran mereka itu ‘orang baru’ dalam politik.

Tetapi menurutnya, mereka mungkin baru dipilih menjawat jawatan baru tetapi hakikatnya mereka adalah tokoh yang berdedikasi dan komited berjuang dalam parti selama ini.

“Dr. Noraini adalah pejuang Puteri dan Wanita, bekas Timbalan Menteri. Beliau ahli parlimen yang aktif, walau tidak dilantik dalam kabinet beliau terus berkhidmat.

“Dr. Asraf Wajdi seorang intelektual yang gigih. Beliau tidak kenal kecewa, tewas dua kali dlm PRU (pilihan raya umum) tapi beliau terus komited. Berani ke depan membawa nafas baru untuk Pemuda dan beliau dari Kabinet yang lalu sebagai Timbalan Menteri.

“Datuk Zahida lama bersama Puteri. Kuat bekerja dari exco biasa ke Naib Ketua Puteri. Malah sewaktu ahli exco lain dilantik ahli dewan negara / ahli dewan rakyat, beliau seperti ditinggalkan tapi beliau tetap setia dan istiqamah,” ujar Annuar dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Justeru Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berpandangan ahli UMNO kini bijak dan cermat dalam membuat pembaharuan.

“Mereka menghargai pemimpin yang punya ‘track rekod’ berjuang, ada karakter, istiqamah dan setia kepada parti. Mereka tidak memilih orang saf belakang atau yang muncul selepas perang.

“Mereka pilih pejuang yang berani ke depan walau mereka dulunya wira yang tidak didendangkan,” katanya sambil mengucapkan syabas dan selamat berjuang kepada ketiga-tiga ketua sayap pergerakan parti itu. – Media UMNO.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.