Keanggotaan, Sistem Pemilihan Perlu Diberi Perhatian Pimpinan Baharu UMNO

MELAKA, 23 Jun – Keahlian dan sistem pemilihan adalah antara pelbagai isu penting yang perlu diberi perhatian oleh pucuk kepimpinan baharu UMNO yang dipilih pada pemilihan sayap parti esok, kata Ketua Pergerakan Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata ia perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu dan bumiputera yang selama ini menaruh kepercayaan kepada parti itu untuk menerajui kepimpinan negara.

Isu keanggotaan berbangkit ekoran kegagalan UMNO mewujudkan sistem yang lebih efisien dalam menangani isu itu, katanya sambil mencadangkan parti supaya melaksanakan keanggotaan automatik di bawah 35 tahun.

“Situasi itu menyebabkan penolakan keahlian oleh individu tertentu, alasan kehilangan borang dan kelewatan mendaftar ahli baru sehingga merencatkan niat serta hasrat rakyat khususnya anak muda untuk menyertai UMNO,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Mas Ermieyati berkata ramai juga anggota Puteri, Wanita dan Pemuda UMNO yang kecewa apabila mendapati mereka tidak layak menjadi calon disebabkan tidak cukup tiga tahun menjadi anggota walaupun telah menghantar borang keanggotaan lebih awal dari itu.

“Malah, ramai ahli baru yang terkejut kerana nama mereka tiada dalam senarai keahlian semasa cawangan bermesyuarat baru-baru ini,” katanya .

Bekas Timbalan Menteri Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata kaedah pemilihan parti juga perlu dikaji semula bagi menghapuskan pelbagai sekatan dalam bentuk peraturan baru dan tatacara persidangan yang hanya menguntungkan individu dan merugikan parti.
Menurutnya sistem pemilihan sedia ada bukan sahaja mematahkan semangat pemimpin pelapis malah menyebabkan UMNO dipandang sinis sebagai parti elit yang dikuasai dan disertai golongan tertentu sahaja walaupun Pergerakan Puteri berusaha mendekati wanita muda menerusi program ADINDA dan SWiNAS.

Mas Ermieyati yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah itu berkata UMNO di semua peringkat perlulah membuka ruang yang luas kepada anggota baru untuk menjadi pemimpin bagi meneruskan perjuangan parti ke arah yang lebih baik.

“Kita dapat lihat jumlah calon yang menawarkan diri pada pemilihan Puteri kali ini meningkat lebih dua kali ganda berbanding pemilihan 2013 iaitu daripada 30 orang kepada 71 orang, dengan ada di antara mereka tidak pernah menyandang jawatan utama dalam sayap Puteri tetapi berpotensi tinggi untuk memimpin.

“UMNO juga perlu memperkenalkan had tempoh perjawatan di semua peringkat bagi mengelakkan individu yang sama menguasai cawangan dan bahagian yang kini dapat dilihat dikuasai ‘panglima’ UMNO yang angkuh,” katanya.

Langkah itu bertujuan menjadikan UMNO lebih relevan dan inklusif selain memberi lebih banyak peluang kepada pemimpin pelapis untuk menyerlah serta mengekang pengaruh individu yang tidak lgi relevan di semua peringkat, katanya.

Mas Ermieyati juga meminta dilaksanakan agenda membanteras rasuah, salah guna kuasa dan mempamer kemewahan dalam kalangan pemimpin kerana ia memberi persepsi negatif kepada parti.

“Pemimpin UMNO yang terlibat dengan kesalahan tersebut perlu dirujuk kepada lembaga disiplin untuk semakan dan pengisytiharan harta agar imej UMNO terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata keputusan pemilihan sayap esok akan diharap berlangsung dengan lancar dan dalam suasana rasional, bukan dikuasai emosi semata-mata kerana ia merupakan detik penting menentukan hala tuju UMNO pada masa hadapan.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit