Khairy Cadang Dua Jawatan Baharu Naib Presiden Untuk Perkasa UMNO
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin hari ini mencadangkan tambahan dua jawatan naib presiden bagi mewakili wanita dan Sabah sekiranya dipilih sebagai presiden pada pemilihan parti 30 Jun.
Anggota Parlimen Rembau itu berkata cadangan itu penting bagi menyuburkan amalan demokrasi di dalam parti berusia 72 tahun itu.
“Hari ini seperti ada ‘glass ceiling’ untuk wanita… akan ada Ketua Wanita (jawatan setaraf naib presiden) yang akan menjaga sayap, tetapi seorang lagi boleh bertanding sampai peringkat naib presiden,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO hari ini.
Beliau berkata keperluan mewujudkan jawatan itu bertujuan mengiktiraf wanita sebagai pemimpin yang boleh berperanan di peringkat nasional selain membantu mencapai 30 peratus penglibatan golongan itu dalam kepimpinan utama parti.
Bagi jawatan naib presiden untuk Sabah, Khairy berkata ia bertujuan menjaga kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu, selain menghormati asas penubuhan Malaysia.
Pada masa ini terdapat tiga jawatan naib presiden dalam struktur organisasi UMNO.
Khairy ialah antara tujuh calon yang menawarkan diri bertanding jawatan presiden parti, selain dua nama besar iaitu Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas presiden parti dan veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.
Khairy, yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan, berkata antara tugas utama presiden UMNO yang baharu ialah membentuk ‘kabinet’ sebelum bermula sidang Parlimen, yang dijadualkan pada 16 Julai.
“Mereka akan diberi tugas memastikan menteri di pihak kerajaan sentiasa ‘accountable’ dan usaha itu bukan hanya menampakkan BN dan UMNO sebagai pembangkang berwibawa tetapi sebagai langkah pertama menjadi kerajaan alternatif yang kredibel,” katanya.
Menyentuh tentang jawatan presiden parti yang kini terbuka untuk dipertandingkan, Khairy mengusulkan supaya tiada lagi resolusi bagi menghalang pertandingan jawatan utama parti dan pemilihan perlu diadakan pada setiap tiga tahun tanpa sebarang penangguhan.
“Anda tidak boleh halang jawatan presiden dipertandingkan secara sihat dalam parti, barisan pemimpin perlu terus boleh dipercayai dan bersedia menghadapi sebarang cabaran,” katanya, dan menegaskan pemimpin yang dipilih mesti berupaya melaksanakan tanggungjawab dalam penggal ditetapkan.
Ketua Pemuda UMNO itu turut memberi jaminan suara akar umbi akan didengari termasuk teguran terhadap pemimpin parti boleh dibuat tanpa khuatir dikenakan tindakan termasuk dipecat.
Menjelaskan tentang keputusannya bertanding jawatan presiden dan bukannya naib presiden seperti diumumkan sebelum ini, Khairy berkata ia bertujuan memberi pilihan kepada anggota UMNO untuk memilih pemimpin yang akan menentukan hala tuju parti.
“Saya mahu kembalikan UMNO sebagai parti yang mendapat kepercayaan dan sokongan daripada rakyat supaya UMNO dilihat sebagai parti boleh menjalankan tugas sebagai pembangkang berwibawa,” katanya.
Khairy berkata beliau memberi komitmen seumur hidup untuk berkhidmat kepada rakyat melalui UMNO dan pemilihan kali ini adalah langkah permulaan ke arah itu, sekalipun tidak dipilih sebagai presiden dan tidak diberikan jawatan dalam parti.
“Saya sentiasa ada dan akan membantu parti dalam apa juga keadaan, dan tidak perlu ada tawar menawar jawatan kepada saya sekiranya saya tewas,” tegasnya.