Proses Cabutan Nombor Calon Pemilihan UMNO 2018 Selesai
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Proses cabutan nombor calon yang bertanding pada pemilihan UMNO 2018 di peringkat pusat yang melibat Ahli Majlis Tertinggi, ahli jawatankuasa sayap Wanita, Pemuda dan Puteri selesai di dalam program cabutan nombor calon yang diadakan di Auditorium Menara Dato Onn, Putra World Trade Center (PWTC) di sini hari ini.
Proses cabutan nombor calon Ahli Majlis Tertinggi dan jawatankuasa sayap dilaksanakan oleh Ketua Setiausaha Bahagian Ibu Pejabat UMNO, Datuk Norazuwan Aziz.
Manakala untuk jawatan tertinggi seperti Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri dilakukan oleh wakil-wakil calon yang terbabit.
Bagaimanapun, nama-nama calon yang bertanding masih belum dimuktamadkan kerana ia masih di peringkat saringan supaya setiap calon-calon yang bertanding memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Keputusan muktamad senarai calon yang bertanding jawatan-jawatan tersebut hanya akan dimuktamadkan dan dipamerkan melalui laman web rasmi UMNO, UMNO Online dijangka pada hari 20 Jun 2018 ini.
Pemilihan diperingkat sayap bahagian dan pusat akan dilakukan pada 23 Jun di peringkat bahagian UMNO di seluruh negara manakala untuk peringkat bahagian dan majlis tertinggi UMNO akan diadakan pada 30 Jun ini.-MediaUMNO