Kit Siang Tolong Tutup Mulut, Jangan Campur Urusan Dalaman UMNO

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sr Annuar Musa meminta Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang agar menutup mulut dan jangan masuk campur urusan dalam parti UMNO yang jelas bukannya urusan beliau untuk campur tangan.

Menurut Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia, tindakan Lim Kit Siang yang juga penasihat Dap menyentuh urusan pemilihan UMNO dan mengaitkan nama beliau dalam pertandingan sebagai calon Timbalan Presiden UMNO sebagai sesuatu yang melanggar sempadan yang sepatutnya.

“Lim Kit Siang sekali lagi cuba mengaitkan nama saya dalam tulisan di blog beliau beberapa hari lalu apabila beliau menyentuh secara langsung urusan dalaman UMNO termasuk pemilihan MT UMNO 30hb Jun ini dan penglibatan saya sebagai calon Timbalan Presiden UMNO.

“Kepada Lim Kit Siang, saya ingin berpesan supaya tutup mulut anda dan jangan masuk campur urusan dalaman UMNO. UMNO bukan Dap.

“Anda telah masuk campur dalam banyak urusan orang lain. Tolong bataskan diri anda dalam mencampuri urusan orang lain terutama urusan dalaman UMNO,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Annuar, nikmatilah detik berbulan madu sepenuhnya setelah segala rencana Dap sebagai ‘the hidden hand’ dalam PH cukup berhasil.

Beliau juga secara sinis mengucapkan tahniah kepada penasihat Dap itu kerana berjaya merealisasikan Dap-led PH dan menjadi rakan terkuat di semua negeri dan pusat.

“Tahniah juga kerana berjaya membawa politik polarisasi kaum yang paling ketara sejak Merdeka. Nasihat anda mungkin terus diperlukan untuk gagasan ‘Malaysian Malaysia”tapi tidak untuk urusan saya atau urusan dalaman UMNO.

“Saya tahu anda ada banyak lagi agenda dan saya tahu anda juga sedang menikmati buah yg kini gugur ke riba tanpa anda perlu mengaitnya.

“Jika ada apa-apa dari anda untuk saya, kita akan bertemu di parlimen tidak lama lagi. Itulah tempatnya, itulah gelanggang sebenar buat anda dan saya untuk bersuara,” ujarnya. MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit