Aidilfitri Madrasah Umat Islam Perkukuh Ukhuwah – Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kehadiran aidilfitri merupakan nikmat besar dari ilahi kerana selain berkesempatan mengerjakan ibadah puasa, ianya juga merupakan perundangan dan madrasah agar umat Islam memperkukuh ukhuwah dan tali persaudaraan antara satu dengan yang lain.

Menurut beliau,  ia juga turut merangkumi asas yang satu, kemurnian kerohanian, kebenaran, keadilan dan kebijaksanaan untuk melestari budaya ilmu serta membina kebahagian duniawi dan ukhrawi.

“Bersama gema takbir, saya, isteri serta keluarga dan sahabat seperjuangan ingin mengucapkan salam aidilfitri yang penuh mulia dan barakah kepada seluruh pucuk pimpinan tertinggi dan warga besar UMNO di semua peringkat.

“Dalam kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan salam aidilfitri kepada seluruh rakyat di mana jua berada yang saya yakini sentiasa memberi sokongan kepada kami dalam meneruskan perjuangan suci demi memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.

“Sewajarnya dalam kita melalui semangat kehadiran Syawal, saya ingin mengundang saudara-saudari untuk memperkukuh ukhuwah hubungan sesama insan sambil berikrar memperbaiki setiap kealpaan dan kesilapan diri tanpa melupakan nikmat serta kebesaran Allah swt.

“Dengan penuh rendah diri saya mengajak saudara-saudari sekalian kembali membina iltizam meneruskan perjuangan di bumi bertuah ini berpaksikan kepada kejujuran hati suci, mentarbiahkan keesaan ilahi dan bersama menyalakan obor suci agama Islam yang kita anuti,” katanya dalam perutusan khas sempena Aidilfitri.

Beliau seterusnya menaruh keyakinan dengan memperkukuhkan jalinan ukhuwah sesama Islam, ianya juga tetap memelihara keharmonian umat Islam yang berbilang latar kehidupan, budaya, keturunan dan pegangan agama, untuk sama-sama membina negara agar sentiasa terpelihara dari sebarang musibah dan kekhilafan insaniah.

“Sehubungan itu, amat penting kita tanamkan semangat baru kepada generasi muda agar sentiasa bertoleransi terhadap perbezaan, jangan memaksa kehendak yang belum tentu kebenarannya.

“Menjadi muslim yang sentiasa merangkul bukan memukul, mengajak bukan mengejek, mendidik bukan mengherdik dan yang sentiasa bertoleransi akan semua perbezaan kerana perbezaan itu indah jika mengambil dari sudut positifnya.

“Sesungguhnya pengajaran terpenting adalah perdamaian yang harganya sangat mahal. Kerana itu, jangan sampai mudah terpancing dengan perbezaan-perbezaan yang sering diraikan kononnya atas semangat demokrasi dan kepelbagain interpretasi sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Marilah kita bersama-sama menyambut hari lebaran tanpa mengira bangsa dan agama sebagai lambang perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyelitkan petikan Imam Al-Ghazali:

Yang jauh itu waktu,
Yang dekat itu mati,
Yang besar itu nafsu,
Yang berat itu amanah,
Yang mudah itu berbuat dosa,
Yang panjang itu amal soleh,
Yang indah itu saling memaafkan.

(Imam Al-Ghazali)

MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.