Kelancaran Mesyuarat Cawangan Bukti UMNO Dapat Sokongan Akar Umbi – Noh

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Pengerusi  Badan  Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar percaya kelancaran  mesyuarat di peringkat cawangan di negeri berkenaan memperlihatkan UMNO masih terus mendapat sokongan pelbagai peringkat.

Menurut beliau apa yang penting hari ini ahli-ahli parti tidak seharusnya kecewa ekoran keputusan pilihan raya umum yang lalu sebaliknya terus bergerak ke depan dan meningkatkan azam bagi memperkasakan akar umbi untuk parti terus bergerak.

“Kita tidak boleh kecewa dan saya doakan UMNO terus bergerak ke depan dan Alhamdulillah mesyuarat cawangan di Selangor hampir 90 peratus berjaya mengadakan mesyuarat masing-masing.

“Jadi ini menunjukkan bahawa UMNO masih lagi mendapat sokongan daripada akar umbi. Kita kena terus pertahankan perkara ini dan saya secara peribadi yakin bahawa UMNO perlukan perubahan termasuklah soal parti yang dilihat masih ekslusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Memperkasa Bangsa di sini, Ahad bersama Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Berkongsi sendiri rungutan yang diterima daripada akar umbi, Noh memberitahu terdapat ahli Pemuda yang ingin dicalonkan sebagai Ketua Pemuda Cawangan namun namanya tidak tersenarai sebagai ahli.

“Saya sendiri mendapat rungutan…budak ni rajin bekerja untuk parti dan rajin berjuang tiba-tiba pada mesyuarat UMNO cawangan baru-baru ini ada ahli yang mahu tolak beliau sebagai Ketua Pemuda Cawangan. Namun nama pula tidak ada dalam senarai cawangan sedangkan permohonan beliau telah dihantar sebelum ini.

“Saya pun semak dan difahamkan pimpinan bahagian telah pun menghantar. Tidak tahulah kat mana berlaku kesilapan. Dalam soal ini kita kena permudahkan dan pada saya ketika dan saat ini permudahkanlah kerana pada akhirnya anak-anak kita akan rasa kecewa,” katanya lagi. – MediaUMNO