Azalina Calon Diri Tawar Ahli Majlis Tertinggi UMNO

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini menawarkan diri sebagai calon Anggota Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan parti itu bagi sesi 2018-2021.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman sosialnya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tekad untuk memperkasakan suara akar umbi yang menjadi formula penting dalam setiap tindakan dan keputusan dalam parti.

Katanya UMNO perlu bertindak sebagai saluran kepada suara akar umbi bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa diperjuangkan dan dibela, dan UMNO kini sebagai pembangkang, perlu menggalas tugas itu dengan menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan.

“Perubahan demografik dalam landskap politik hari ini memerlukan kerja keras daripada semua peringkat dalam mengembalikan serta membina semula parti keramat UMNO. Kealpaan kita dalam menilai suara akar umbi pada PRU lalu memberi natijah yang besar kepada parti.

“Selain itu, untuk kekal relevan UMNO perlu membentuk dimensi baru. Walau berdepan dengan cabaran masa kini, UMNO perlu menunjukkan kematangan politik agar dihormati kawan dan lawan,” katanya.

Azalina turut mencadangkan penubuhan sebuah Institut Kajian Politik bagi membantu UMNO dalam memperhalusi isu-isu semasa rakyat khususnya isu-isu yang menyentuh masyarakat Melayu.

“Saya percaya pemilihan kali ini mampu menjadi permulaan yang baik kepada perubahan UMNO yang lebih gemilang. Sehubungan itu saya ucapkan jutaan terima kasih atas sokongan yang akan diberikan dan berjanji akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaiknya sekiranya diberi kepercayaan,” katanya.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit