Projek Kereta Nasional Baharu… Tindakan Kerajaan PH Satu Langkah Regresif, Terbelakang

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin merasa hairan atas sikap kerajaan Pakatan Harapan yang menafikan projek yang memberi manfaat kepada rakyat contohnya seperti pembatalan projek pengangkutan awam; MRT3 tetapi dalam masa yang sama mahu menubuhkan sebuah projek kereta nasional yang baharu.

Menurutnya, tindakan tersebut merupakan satu langkah regresif dan terbelakang.

“Bukan sahaja projek kereta nasional ini tidak mesra alam dari segi pelepasan karbon dioksida, tetapi juga bakal menelan belanja yang besar kepada kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan projek pengangkutan awam.

“Sejak 1984 kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kewangan merangkumi pinjaman mudah dan geran berjumlah RM15.3 bilion kepada PROTON (Perusahan Otomobil Nasional).

“Projek kereta nasional seperti ini juga akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais yang mencecah sehingga 105% yang membebankan pengguna yang ingin membeli kereta jenama selain kereta nasional,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya di sini, hari ini.

Khairy berkata demikian ketika merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) ke-24 di Tokyo bahawa Malaysia bakal memulakan sebuah lagi projek kereta nasional.

Ujar Ahli Parlimen Rembau itu lagi, melainkan projek kereta nasional baharu ini akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya, beliau tidak nampak kebaikan dan manfaatnya kepada rakyat, ekonomi negara dan alam sekitar.

“Ini juga banyak bergantung kepada kemampuan kita dalam mencapai ekonomi skala atau ‘economies of scale’. Kalau skala pengeluarannya kecil, sasaran impak ekonomi yang diingini mungkin tidak akan dicapai.

“Kerajaan melalui Jemaah Menteri perlu memperhalusi cadangan ini sebaik-baiknya sebelum bersetuju untuk meneruskan projek ini,” tegasnya.

Justeru beliau berharap agar keutamaan masa dan sumber dapat diberikan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam.

“Seperti kerjasama dengan pihak swasta dalam menambahbaik ‘last-mile connectivity’ seperti solusi e-hailing dengan menggunakan kenderaan dan motosikal.

“Kajian menyeluruh dari segi kemungkinan (feasibility) termasuk bagaimana untuk mengurangkan kos untuk projek MRT 3 dihidupkan semula pada masa akan datang atau dengan menggunakan sistem yang lebih menjimatkan kos seperti Bas Rapid Transit (BRT) yang tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja,” katanya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.