Kenyataan PM Perlihatkan Dakwaan Curi Wang 1MDB Hanya Tuduhan Liar Tanpa Bukti – Najib

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bahawa kerajaan perlu bukti kukuh untuk menahan dan mendakwa beliau dalam isu 1MDB jelas memperlihatkan segala tuduhan mencuri berbilion dana 1MDB terhadapnya itu hanyalah satu tuduhan liar tanpa bukti yang kukuh.

Menurut Najib, di sebalik meyakinkan rakyat Malaysia sebelum Pilihanraya Umum ke-14, kononnya beliau mencuri berbilion dana 1MDB, Tun Mahathir kini berkata, tanpa bukti kukuh, menahan atau mendakwanya di mahkamah adalah tidak mudah.

“Beliau turut berkata bukti tidak kukuh dan jika saya didapati tidak bersalah oleh mahkamah, maka segala tuduhan yang dilempar dan tindakan oleh Pakatan Harapan selama ini akan dipersoalkan oleh rakyat.

“Dengan berkata demikian, Tun Mahathir secara tidak langsung telah mengaku bahawa selama ini PH telah membuat segala tuduhan itu terhadap saya tanpa bukti kukuh.

“Ia juga membuktikan kertas pertuduhan yang dikatakan sudah disediakan untuk mendakwa saya pada 2015 adalah tidak benar dan ia ternyata sebahagian dari konspirasi dengan menggunakan individu tertentu di dalam pentadbiran kerajaan untuk menggulingkan saya,” tegasnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman facebook rasmi beliau.

Tambahnya lagi, bagaimana wujudnya kertas pertuduhan untuk mendakwa beliau sedangkan kenyataannya tidak pernah diambil oleh SPRM sebelum ini.

“Hanya sekarang, barulah mereka mahu melakukan justifikasi kepada tuduhan yang dilemparkan kepada saya dengan mencari ‘bukti’, sama ada ia benar, diimaginasikan atau direka.

“Justeru, saya ingin ulangi, bahawa saya tidak menerima faedah mahupun mencuri wang dari 1MDB atau mana-mana pihak. Jika saya didakwa atas alasan politik, saya yakin mahkamah akan membuktikan saya tidak bersalah.

“Ini amat berbeza jika mahu dibandingkan dengan Perdana Menteri ke-4, di mana anak saya tidak memiliki syarikat senarai awam, memiliki kereta mewah ‘supercar’ bernilai berjuta Ringgit dan tidak pernah dianugerahkan kontrak kerajaan atau menjalankan perniagaan dengan kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Najib melahirkan rasa sedih apabila ramai rakyat beragama Islam berpendapatan rendah di negara ini yang memerlukan bantuan bagi memenuhi tuntutan agama menunaikan Haji, kini tidak lagi menerima bantuan dari kerajaan.

“Tun Mahathir adalah silap untuk mendakwa wang yang digunakan 1MDB bagi membiayai beribu jemaah haji, adalah hasil wang yang dicuri.

“Tun Mahathir kerap membuat dakwaan duit dicuri dari 1MDB. Bagaimana agaknya, 1MDB mencuri wang 1MDB sendiri untuk membolehkan syarikat ini membiayai jemaah haji?

“Jemaah haji yang dibiayai 1MDB tidak perlu bimbang kerana dana yang digunakan untuk membantu mereka menunaikan Rukun Islam ke-5 ini adalah dari sumber halal kerana saya akan menanggung dosa yang besar jika ia adalah sebaliknya,” jelasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.