Keputusan Pertandingkan Semua Jawatan Bukti Demokrasi UMNO Terus Subur, Segar


KUALA LUMPUR, 10 Jun – Naib Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nayan berkata, keputusan mempertandingkan semua jawatan termasuk jawatan Presiden adalah bukti kesuburan demokrasi dalam UMNO semakin segar.

Jelas beliau, ini memberi ruang kepada seluruh ahli UMNO untuk menentukan siapakah yang mereka mahu bagi menerajui UMNO dan membawa parti keramat ini kembali menjadi pilihan rakyat.

“Pemilihan secara terbuka ini adalah merupakan penyuburan dari segi demokrasi malah ia satu isyarat yang jelas bahawa UMNO adalah sebuah parti yang inklusif.

“Ini juga langkah awal untuk kita kembali membina parti ini dari keruntuhan maka kita harus bijak memilih dan mencalonkan siapakah yang benar-benar layak untuk menerajui parti ini seterusnya membawa parti ini kembali ke puncak,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Baru-baru ini, keputusan mesyuarat Ahli Majlis Teringgi UMNO telah membuat keputusan untuk mempertandingkan semua jawatan termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden serta ketua-ketua bagi kepimpinan sayap parti.

Ahli-ahli UMNO yang ingin bertanding boleh mendaftar secara ‘online’ bermula 1 Jun 2018 (Jumaat) dan pencalonan akan ditutup pada 17 Jun 2018 (Ahad), jam 5.00 petang bagi semua peringkat pemilihan MT, bahagian dan pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Jawatankuasa pemilihan yang dibentuk di peringkat bahagian juga akan berfungsi di semua peringkat pemilihan sepanjang proses pemilihan berlangsung. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit