Terima Kasih Kerajaan PH, UMNO Hargai Peruntukan Untuk Peneroka Felda

KUALA LUMPUR, 9 Jun – UMNO berterima kasih di atas pengumuman YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk memberi bonus raya kepada semua peneroka Felda dan Felcra.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat Ibu Pejabat UMNO berkata peruntuka RM50 juta untuk peneroka Felda itu adalah kesinambungan kepada ihsan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Peneroka Felcra pula akan menerima duit raya berjumlah RM44 juta daripada hasil keuntungan perniagaan agensi berkenaan, dan tidak menjejaskan sesen pun wang kerajaan.

“Semua ini adalah hasil desakan UMNO baru-baru ini agar peneroka dipertimbangkan duit raya mereka. Ternyata desakan UMNO itu menerima keprihatinan Kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sememangnya pemberian bonus dan duit raya kepada peneroka sudah menjadi ‘tradisi’ kerajaan sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri sejak April 2009.

“Sumbangan peneroka terhadap ekonomi negara amatlah besar dan tidak sewajarnya diperlekehkan oleh mana-mana pihak, termasuk PH.

“Begitupun, ada suara pihak tertentu yang mendesak agar penyertaan sebagai peneroka Felda serta kemasukan ke UiTM dibuka kepada semua kaum.

“UMNO melihatnya dengan penuh kegusaran kerana ia akan mengecilkan hak orang Melayu di tanah air sendiri. Di samping tiada desakan agar kampung-kampung baru dan institusi pengajian Cina dan India ‘diMelayukan’, maka hak mereka terhadap Felda tidak perlu dipertikaikan.”

Katanya, perlu diingat bahawa syarat wajib untuk menjadi peneroka ialah miskin dan tidak memiliki walaupun sejengkal tanah di kampung asal mereka dan tanah Felda adalah satu-satu tanah yang mereka ada.

“Biarlah Felda dijadikan hak Melayu, seperti wujudnya kampung baru untuk bangsa Cina dahulu. Perlu diingat, dalam pada kerajaan PH mewujudkan ‘Malaysian Malaysia’, kita perlu menghormati hak sesuatu kaum di negara majmuk ini.

“Sebenarnya bangsa Melayu sudah banyak berkorban terhadap hak mereka sebelum ini, termasuk memperuntukkan 10 peratus tempat untuk pelajar bukan Melayu di MRSM,” katanya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit