Pengerusi BiKUM Tawar Diri Untuk Terus Berkhidmat Kepada UMNO

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menawarkan diri untuk bertanding sekali lagi mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Menurut beliau politik semasa hari ini memperlihatkan parti berdepan cabaran besar untuk bangkit semula sebagai sebuah parti bermaruah, berkuasa dan diterima rakyat.

“Jadi, untuk #UMNOBANGKIT parti mestilah menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Paling utama kepimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat mesti bersatu. UMNO mesti berubah dengan imej, serta semangat yang baru demi agama, bangsa dan negara.

“Kemudian UMNO mesti menjadi parti yang membela kepentingan ahli, orang Melayu, bumiputera serta rakyat keseluruhannya. Justeru melihat kepada semua ini dengan penuh tanggungjawab saya menawarkan diri sekali lagi bertanding dan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Malaysia pada pemilihan kali ini. Semoga perjuangan kita diberkati dan beroleh kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Menyingkap kepada latar belakangnya, ini adalah kali kedua bertanding sebagai MT dan dalam tempoh sebelum ini, beliau diberikan tanggungjawab sebagai Pengerusi Biro Kebajikan (BiKUM) oleh parti dalam menjalankan tugas serta soal-soal kebajikan di seluruh negara.

Selain itu, BiKUM juga turut menyelesaikan banyak kes rakyat Malaysia yang dianiaya dengan pelbagai isu diluar negara.Menerusi siri jelajah yang dilaksanakan, BiKUM telah turun ke lebih 140 UMNO bahagian seluruh negara.

Dr Shamsul Anuar memenangi Parlimen Lenggong pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang lalu dengan peningkatan majoriti sebanyak 5,773 menewaskan calon PKR dan juga Pas manakala pada PRU-13 beliau memenangi Parlimen Lenggong dengan majoriti 4,161.

Selepas PRU-13, Perdana Menteri mengamanahkannya sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bukan hanya menguruskan pinjaman tetapi menguruskan dana simpanan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional dan dijenamakan dengan nama baru SSPN1M.

Pelbagai pendekatan dilaksanakan dan beliau berjaya mencapai KPI dengan sejak 2016 dan 2017 kutipan balik mencecah lebih RM4 bilion dan 2017 sehingga RM4.7 bilion bersama dengan skim simpanan. Suatu ketika PTPTN diakhir 2013 pernah menghadapi keadaan sukar kerana kutipan sebulan hanya sekitar RM50 Juta dan hanya RM700 Juta setahun.

Dibawah pimpinanya PTPTN melakukan pelbagai pendekatan antaranya #Bolehbincang, Jobmaching, Budaya menabung dan sebagainya. Namun paling utama PTPTN mampu menyediakan dana sekitar RM4 bilion setahun untuk kegunaan pelajar dan menjadikan aliran kewangannya berjalan dengan baik. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit