Hishammuddin Umum Tidak Bertanding Sebarang Jawatan Pada Pemilihan UMNO

JOHOR BAHRU, 8 Jun – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti kali ini.

Katanya keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau bekerja lebih keras membantu membangunkan  semula UMNO bermula dari Johor selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

“Karier politik saya tidak akan berakhir, saya telah terlibat dalam politik sepanjang hidup saya dan saya tidak akan keluar parti.

“Saya harap ini (langkah tidak bertanding) disedari yang lain-lain bahawa jawatan bukan perkara penting dalam perjuangan kita untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut bekas Menteri Pertahanan itu, beliau  telah menyuarakan keputusan tersebut kepada  Pemangku Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi  Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kedua-duanya memahami serta menghormati keputusan beliau.

“Selepas  raya, saya turun padang ke bahagian-bahagian pula untuk menerangkan secara lebih terperinci  sebab-sebab saya tidak bertanding dan membawa nama Mohamed Khaled sebagai calon naib presiden,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata keputusan pilihan raya umum lalu memberi isyarat jelas bahawa UMNO tidak boleh lagi beroperasi seperti biasa sebaliknya memerlukan perubahan pendekatan secara total dan pemilihan kali ini adalah masa paling sesuai untuk UMNO melakukan perubahan tersebut.

“Saya dapati ramai yang menawarkan diri untuk bertanding demi membawa UMNO ke depan dan saya percaya mereka harus diberikan peluang untuk memimpin,” katanya.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit