Pulau Batu Puteh: BN Johor Hantar Memorandum

ISKANDAR PUTERI, 7 Jun – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri Johor berkaitan penarikan balik semakan kehakiman ke atas Pulau Batu Puteh oleh kerajaan pusat.

Memorandum itu yang turut mengandungi permohonan bagi tafsiran penghakiman status Tubir Selatan diserahkan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad kepada Setiausaha Sulit I Menteri Besar Johor Ambok Nani Muhamad Nor di Pejabat Menteri Besar Johor di sini.

Hasni berkata mereka menuntut kerajaan negeri mendesak kerajaan persekutuan menarik balik keputusan membatalkan semakan kehakiman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kedaulatan Pulau Batu Puteh dan Tubir Selatan.

“Bantahan ini dibuat kerana kerajaan persekutuan tidak memberikan asas yang kukuh mengapa pembatalan itu dibuat… bantahan tersebut juga bertujuan mendesak kerajaan negeri memberikan penjelasan kepada Bangsa Johor,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Hadir sama bekas Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat dan bekas Exco Sumber Manusia dan Perpaduan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R. Vidyanathan.

Terdahulu, ketiga-tiga mereka bersama-sama sekumpulan 50 orang berhimpun secara aman dengan memegang kain rentang tertera perkataan ‘Bangsa Johor mahu mempertahankan Pedra Branca’, ‘Kedaulatan Johor Kedaulatan Malaysia itu hak kami’ dan ‘HSR Batal Pedra Branca Tarik Balik – Di mana maruah Bangsa Johor?.

Pada 30 Mei 2014, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar rayuan dibuat ke atas keputusan ICJ berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang disusuli dengan permohonan semakan kehakiman pada 12 Feb 2017.

Namun pada 28 Mei lepas, kerajaan pusat memaklumkan ICJ bahawa ia tidak akan meneruskan prosiding semakan kehakiman membabitkan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan terhadap Singapura dan telah mendapat persetujuan republik itu.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit