Johari Abdul Ghani Tawar Diri Tanding Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung pada 30 Jun ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Johari berkata beliau telah menganggotai UMNO sejak 1988, memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa selama lapan tahun, menganggotai Majlis Tertinggi UMNO, menjadi wakil rakyat selama lima tahun, memegang jawatan Menteri Kewangan Kedua selama 21 bulan dan terlibat dalam dunia korporat selama 25 tahun.

“Saya mempunyai pengalaman berurusan dan berdampingan dengan rakyat dari pelbagai latar belakang, pemikiran dan pandangan politik yang berbeza-beza. Sehubungan itu, saya bersedia untuk terus menyumbangkan masa, tenaga, buah fikiran dan pengalaman saya untuk bersama-sama membantu memperkasakan UMNO semula, Insya-Allah,” katanya.

Johari berkata asas UMNO yang kukuh dan juga daya tahannya selama ini dalam menghadapi pelbagai cabaran dan krisis telah menjadikan UMNO sebuah parti yang masih dihormati oleh pihak lawan, dan sebagai sebuah parti pembangkang yang baharu, UMNO harus terus menjadi saluran bagi suara rakyat untuk memperjuangkan hak-hak rakyat dalam menghadapi arus pembangunan ekonomi dan negara.

“ UMNO sedang berdepan dengan perkembangan arus politik negara era baharu iaitu corak pemikiran dan kehendak rakyat telah berubah menjadi kompleks, suara anggota UMNO dan rakyat jelata yang mengharapkan perubahan sosial dan reformasi politik telah lama kedengaran dan menjadi lantang sehingga keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 tidak memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit