Liabiliti Luar Jangka Tidak Termasuk Dalam Hutang Negara


KUALA LUMPUR, 3 Jun – Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO menegaskan, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan hutang negara mencecah 1 trillion baru-baru ini adalah disebabkan kerajaan mencampurkan hutang kerajaan Malaysia sebanyak RM686.8 bilion dan liabiliti luar jangka sebanyak RM238 bilion.

Menurutnya, tiada kerajaan di dunia memasukkan komitmen pajakan dalam laporan hutang negara mereka.

“Kerajaan-kerajaan lain di dunia juga menggunakan SDDS dan melaporkan sekuriti hutang tertunggak mereka sebagai hutang negara, tidak termasuk tanggungan luar jangka.

“Bayaran sewa adalah perbelanjaan barangan, bukan barang hutang. Jika kita memasukkannya, maka kita harus memasukkan semua perbelanjaan kerajaan seperti gaji pegawai kerajaan, pencen, subsidi dalam angka hutang negara.

“Tetapi kerajaan Pakatan Harapan telah menambah komitmen seperti pembayaran pajakan dan bayaran penyelenggaraan kepada hutang kerajaan dan liabiliti luar jangka berjumlah RM201.4 bilion yang menyebabkan bagaimana angkanya mencecah ke angka RM1 trilion.

“Namun sekarang, jika anda meneliti secara terperinci, mereka (Kerajaan PH) tidak lagi menggunakan hutang RM1 trilion, tetapi menyebut hutang dan liabiliti RM1 trilion. Terma ini adalah betul dari segi teknikal di mana Kerajaan Malaysia mempunyai liabiliti lebih daripada RM1 trilion, di mana RM686.8 bilion adalah dalam bentuk sekuriti hutang,” jelas kenyataan media tersebut di sini hari ini.

Menurut Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, hutang negara di bawah pemerintahan BN sebelum ini sentiasa dilaporkan mengikut piawaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu Standard Penyebaran Data Khas (SDDS) – panduan kepada negara anggota IMF dalam penyebaran statistik negara kepada orang ramai.

“Dengan menggunapakai piawaian pelaporan antarabangsa ini, Malaysia melaporkan hutang kerajaan (sekuriti yang diterbitkan oleh kerajaan – bon) dan hutang yang dijamin oleh kerajaan atau lebih dikenali sebagai liabiliti kontingen secara berasingan.

“Hutang Kerajaan Malaysia pada 31hb Disember 2017 adalah sebanyak RM686.8 bilion dan liabiliti luar jangka ialah RM238 bilion. Angka-angka ini tersedia kepada umum di laman web Bank Negara.

“Kerajaan BN sentiasa mengikuti piawaian antarabangsa untuk melaporkan angka hutang negara. Semua angka tersedia kepada umum di laman web Jabatan Negara, Perbendaharaan, Jabatan Perakaunan dan Jabatan Audit Negara.

“Agensi penarafan, komuniti pelaburan dan institusi kewangan menyedari angka-angka ini kerana ia tidak pernah disembunyikan. Setiap tahun agensi penarafan mengadakan mesyuarat dengan pegawai EPU dan MOF dan sentiasa dikemas kini mengenai angka tersebut,” jelas kenyataan itu lagi.

Tambah Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, di zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir, liabiliti luar jangkaan meningkat setiap tahun dan apabila beliau bersara pada 2003, terdapat kira-kira RM52.7 bilion liabiliti luar jangkaan dan ia tidak pernah dimasukkan dalam angka hutang negara.

“Apabila ekonomi kita berkembang, kerajaan memperolehi lebih banyak pendapatan dan kerajaan menjadi lebih berupaya untuk mengambil lebih banyak hutang.

“Negara kita tidak pernah memungkiri mana-mana hutang atau obligasi kita. Ia bukan mengenai jumlah hutang tetapi apa yang kita lakukan dengan hutang dan keupayaan untuk membayar/menjelaskan hutang,” jelasnya.-MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit