Calon Peguam Negara : Di Mana Kedudukan Perlembagaan Persekutuan Di Mata PH?

Langganan bahawa isu cadangan melantik Tommy Thomas adalah semata mata SOAL BUDIBICARA PM MENASIHATI YDPA, dan YDPA WAJIB MEMATUHINYA adalah salah dari segi prinsip dan semangat perlembagaan negara. Ia juga terkait soal kesesuaian, wibawa dan konflik kepentingan yang bakal terjadi.

YDPA dan RAJA RAJA Melayu mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar dari sekadar mengiakan nasihat orang politik termasuk PM.

Tanggungjawab itu merentasi kepentingan parti, puak atau individu. Sekiranya sesuatu itu bercanggah dengan falsafah dan kepentingan rakyat dan negara maka YDPA dan Majlis Raja-Raja berhak bertindak menggunakan wibawa jawatan mereka sebagai KETUA NEGARA.

Harus diingat YDPA dan Raja-Raja pada zaman ini adalah terdidik, terpelajar dan mempunyai penasihat yang sangat berwibawa dan mampu melihat sesuatu perkara dari perspektif yang jauh lebih luas dari orang politik yang berkepentingan.

Justeru Raja-Raja mampu berperanan ‘CHECK & BALANCE’ dalam Malaysia Moden ini.

Perhatikan di sini betapa kontroversinya cadangan PM melantik T.Thomas yang sebelum ini tidak pun diketahui oleh rakyat.

Justeru kita merasakan, walaupun dikatakan oleh media bahawa keputusan untuk mencadangkan perlantikan bekas Setiausaha Majlis Peguam Malaysia, Tommy Thomas, sebagai Peguam Negara adalah berdasarkan persetujuan sebulat suara Pakatan Harapan, adalah diyakini ia bukan berpunca daripada Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana Tun Dr Mahathir diketahui umum sukar untuk memaafkan pihak yang mengkritik beliau, dan Tommy pula diketahui umum merupakan salah seorang pengkritik tegar Tun Dr Mahathir, di mana di dalam bukunya bertajuk ‘Abuse Of Power’ pada 2016 contohnya, Tommy menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai ‘a very authoritarian leader who did not brook dissent’.

Begitu juga di dalam The International Bar Association (IBA)’s 3rd Asia Pacific Regional Forum Conference di Kuala Lumpur pada 25–27 November 2012, di mana Tommy berucap keras menyelar Tun Dr Mahathir dengan berkata: ‘The darkest days were in the authoritarian leadership of our 4th Prime Minister, Dr Mahathir who ruled for 22 years from 1981 to 2003.’

Keputusan untuk mencadangkan Tommy yang dibuat oleh Pakatan Harapan ini pula adalah tidak selari dengan Janji 15 di dalam Manifesto Pakatan Harapan yang berbunyi ‘Peguam Negara akan dilantik dari kalangan ahli parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang Menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan’.

Keputusan untuk mencadangkan Tommy ini juga adalah tidak selari dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan’ dan tidak selari dengan Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong yang berbunyi ‘Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam’.

Ini kerana Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan menyebut ‘Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri’.

Melantik seorang yang bukan Islam untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong sudah tentulah satu langkah yang tidak betul kerana seorang yang bukan Islam sudah tentulah tidak akan dapat membantu Yang di-Pertuan Agong ‘memeliharakan pada setiap masa Agama Islam’ selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan’.

Apatah lagi bila Tommy di dalam buku-bukunya bertajuk ‘Anything But The Law’ dan ‘Abuse Of Power’ pada 2016 tegar berhujah mengenai betapa Malaysia adalah bukan negara Islam serta betapa keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang akur kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah bila timbul pertikaian membabitkan konflik antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah adalah keputusan yang salah.

Bagaimana Tommy, seorang bukan Islam, boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang Islam dengan betul dan tidak berkepentingan sedangkan banyak pandangannya mengenai undang-undang Islam yang tercatat di dalam buku-bukunya sebelum ini yang bersifat kritikal dan lebih banyak dipengaruhi oleh pegangan agama beliau sendiri?

Tommy di dalam bukunya bertajuk ‘Abuse Of Power’ pada 2016 juga mengkritik keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes penggunaan nama Allah oleh Gereja Katolik dengan menyebut: ‘In an appeal where the central issue is a clash between Islam and Christianity, the judges ought to have been Hindus, Buddhists, atheists or agnostics. Alternatively, there should have been a delicate balance between judges of the Muslim, Christian and other faiths’.

Tommy di dalam bukunya bertajuk ‘Anything But The Law’ pada 2016 juga banyak menulis mengenai isu-isu yang sensitif termasuklah, di dalam mendesak Kerajaan Malaysia membenarkan mayat Chin Peng ditanam di Sitiawan, menyebut Chin Peng sebagai ‘one of the great liberation fighters of the second half of the twentieh century’ dan ‘a major contributor to Merdeka’ serta menyifatkan Dasar Ekonomi Baru dan Rukunegara tidak mempunyai asas perlembagaan dan perundangan.

Sebab itulah bila terkeluar berita bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak memperkenankan hasrat Pakatan Harapan untuk melantik Tommy sebagai Peguam Negara maka ia adalah satu tindakan yang amat tepat dan perlu dihormati selaras dengan Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi ‘Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan’.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlantikan Peguam Negara adalah jelas dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, tidak seperti kenyataan Lim Kit Siang pada 17 Mac 2018 bahawa ‘kita (Pakatan Harapan) akan melantik seorang Peguam Negara dan ketua-ketua institusi-institusi negara…’ (‘we will appoint an Attorney-General and heads of national institutions…’) tanpa sebarang rujukan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Lebih asas lagi adalah, mengikut Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi atas merit Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara (Perkara 32), Ketua Eksekutif (Perkara 39) dan sebagai Ketua Agama Islam, di mana sudah tentu ada justifikasi kukuh kenapa orang Islam perlu diberikan keutamaan memegang jawatan ini.

Adalah menjadi kewajipan Pakatan Harapan untuk akur dengan tindakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ini selaras dengan Janji 11 di dalam Manifesto Pakatan Harapan yang berbunyi ‘Kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita’.

Di mana suara Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyokong Pakatan Harapan sekarang?

Bukankah sudah terbukti sekarang bila Pakatan Harapan tidak akur dengan tindakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di dalam soal hasrat Pakatan Harapan untuk melantik Tommy sebagai Peguam Negara maka apa yang beliau katakan pada 6 Februari 2018 bahawa ‘peta PPBM adalah sosialis, tidak nampak menjuarakan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu’ adalah betul?

Belum pun 40 hari di tampuk kuasa, negara sudah mula bergelut dgn pelbagai perkara dasar..terutama yg menyentuh perkara asas seperti termaktub dalam perlembagaan.

Yang pasti RAJA-RAJA MELAYU, ISLAM DAN HAK ORANG MELAYU SEMACAM DIANCAM SECARA SISTEMATIK. BEGITULAH BILA KUASA SUDAH TIADA LAGI.

Kehadapan SPB YDPA SULTAN MUHAMMAD KE V dan Majlis Raja-Raja, Rakyat menjunjung kasih. Setidaknya kita tahu, Duli-Duli Tuanku bukan hanya RUBBER STAMP..Rakyat tumpang berlindung

Allahuakbar!

Tan Sri Annuar Musa

Ahli Parlimen Ketereh, Ketua Penerangan UMNO Malaysia

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit