Kajian Awal PRU14 Buktikan UMNO Tetap Pilihan Utama Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ahli-ahli UMNO perlu bangkit kembali selepas berdepan dengan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana mandat rakyat kepada UMNO khususnya di kalangan pengundi Melayu dan orang-orang Islam tetap unggul, kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Kata beliau, UMNO tidak boleh lupa untuk terus mempertahankan agenda Melayu, agenda umat Islam, agenda kaum Bumiputera serta dasar-dasar yang selama ini diperjuangkan oleh parti.

“Saya ingin menyatakan bahawa UMNO harus memberikan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat terutamanya para pengundi orang-orang Melayu dan orang Islam yang sebenarnya sangat beristiqamah dengan kita.

“Kajian awal statistik pilihan raya baru-baru ini menunjukkan UMNO adalah parti yang mendapat dukungan daripada jumlah yang paling ramai di kalangan pengundi-pengundi Melayu dan Islam, malah parti terbesar dalam Parlimen apabila Parlimen bersidang nanti.

“Apabila kita tengok corak pengundian pula, 75 peratus daripada pengundian mengundi sama ada calon dari UMNO/BN ataupun daripada Pas dan kalau kita lihat hampir 60 peratus pengundi-pengundi Melayu dan Islam itu memberi dokongan untuk mempertahankan UMNO,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujarnya, fakta ini harus di‘highlight’ supaya tidak terlupa untuk menghargai menyokong UMNO dan membolehkan parti ini kekal sebagai parti yang terbesar di Parlimen juga hampir di setiap negeri berbanding dengan parti-parti yang lain kecuali di negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Soal beliau, apakah kesannya yang terjadi?

“Kesannya terjadi apabila di mana-mana sahaja pengundi bukan Melayu, bukan Islam berjumlah lebih daripada 10 peratus sudah cukup untuk menewaskan UMNO apabila undi orang Melayu dan Islam berpecah diantara undi UMNO dan juga Pas, ini menjadikan satu tsunami yang tidak pernah berlaku dalam PRU.

“Pakatan Harapan (PH) tak boleh terlalu mendabik dada bahawasanya mereka mendapat mandat daripada rakyat sebab sebenarnya, kalau dilihat secara mikro, PH adalah sebuah parti politik yang mendapat mandat kuat daripada pengundi-pengundi Cina dan bukan Melayu lantaran adanya Dap, sementara UMNO kekal sebagai sebuah parti yang mendapat mandat orang Melayu dan umat Islam tinggal lagi kita tidak mendapat cukup mandat daripada orang Cina dan bukan Islam, daripada parti-parti kompenan termasuk MCA dan parti Gerakan.”

Jelas beliau, faktanya ialah UMNO tewas sebagai BN.

“Ini kita kena faham walaupun kita ada banyak parti di Semenanjung tetapi MCA hanya mampu memberikan satu kerusi, MIC hanya mampu memberikan dua kerusi, parti Gerakan tidak memberikan walaupun satu kerusi.

“Setakat ini statistik menunjukkan buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara kita, UMNO dan BN hanya menerima lebih kurang dua peratus sahaja daripada jumlah pengundi bukan Melayu.”

Ujarnya, beliau amat amat memahami bahawa pada masa ini masih ramai yang masih sangat terasa dengan kegagalan BN mempertahankan kerajaan sebagai parti yang berkuasa dan yang memerintah.

“Ini kita boleh fahami sebenarnya dirasai oleh semua dan lazimnya seperti mana dalam sesebuah peperangan, pasukan atau tentera mengalami kekalahan biasanya kita akan bertempiaran, ada yang nak menyelamatkan diri ada yang mencari-cari kesalahan, ada yang rasa tak selamat, ada yang merasa kecewa, dan sebagainya.

“Pada saya ini adalah satu lumrah yang sememangnya dapat kita fahami tetapi dalam masa yang sama kita semua sebagai orang-orang perjuangan perlu berada dalam satu saf kerana sudah tentu tidak dapat lari dari pelbagai ujian.

“Kita seharusnya mengambil pendekatan setelah kita melayari sedikit sebanyak rasa kecewa, dan kemudian kita mesti kembali kepada berfikiran secara rasional kerana yang penting kita mesti berpegang kejap kepada roh dan dasar-dasar perjuangan sebagai sebuah parti politik.”

Selaras dengan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegaskan bawa UMNO tetap merupakan parti yang dipertahankan oleh orang Melayu dan umat Islam dengan landskap politik yang sekarang ini berubah

“Saya harap perspektif ini dapat direnungi secara mendalam, lihat secara faktual, dan untuk merenung dengan mata hati dan roh sebagai pejuang yang memandang ke hadapan, menyusun saf dengan realiti politik yang baru termasuk mencari formula-formula politik yang baru juga.

“Kita tak harus terlalu lama kecewa, sebagai parti yang berjuang kita mesti bergerak terus ke hadapan dalam saf yang tersusun dan saf yang berkeyakinan sebagai parti politik yang unggul di negara kita.

“Tinggal lagi dalam perspektif BN mungkin kita terpaksa melihat kembali memandangkan undi bukan Melayu sudah lari daripada polisi BN,” katanya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit