Batal HSR : Jelaskan Kepada Rakyat Johor

JOHOR BAHRU,1 Jun – UMNO Johor berpandangan rakyat negeri itu harus diberi penjelasan tentang keputusan kerajaan pusat membatalkan projek pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Khaled Nordin berkata pandangan tersebut bersandarkan beberapa sebab, pertamanya kerana HSR adalah projek prasarana yang dicadangkan demi mencungkil potensi sebenar daerah selatan Malaysia.

“Ia (HSR) bukan projek politik dan tidak harus dipolitikkan. HSR semasa diputuskan untuk dilaksana, diharap akan menjadi pemacu perubahan bagi pembangunan di wilayah selatan Malaysia.

“Bukan sahaja ia memudah dan mempercepatkan pergerakan rakyat dari ibu negara ke selatan tanah air dan Singapura, tetapi banyak membantu memacu pelbagai aktiviti ekonomi di sepanjang jajaran laluannya,” katanya dalam kenyataan media.

Mohamed Khaled berkata, Muar misalnya, akan dapat terus dilonjakkan sebagai Hab Pendidikan dan Kota Perabot Malaysia ke tahap lebih tinggi dan baik melalui ‘keterhubungan’ disediakan HSR.

Selain itu, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, pelaksanaan HSR tidak pernah diputuskan secara tergesa-gesa sebaliknya melalui proses kajian demi kajian yang merangkumi pelbagai aspek.

Beliau berkata mustahil untuk Malaysia dan Singapura mempersetujui projek yang tidak mempunyai manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Ketiga, pembatalan HSR tersebut menyebabkan Malaysia terpaksa membayar penalti terlalu mahal kira-kira RM500 juta.

“Ini sudah pastilah satu pembaziran memandangkan kita membayar RM500 juta dengan tidak memperoleh apa-apa. Merundingkan pampasan bukanlah perkara yang mudah apabila keputusan ini dibuat secara sebelah pihak,” ujarnya.

Sebab keempat, Khaled berkata pembatalan projek HSR dilihat dilakukan tanpa rundingan dan makluman dengan kerajaan Johor dan Singapura.

Beliau berkata perkara tersebut sangat mengecewakan kerana kedua-dua pihak adalah pemegang taruh paling penting dalam projek berkenaan.

“Terutamanya Johor, keputusan tersebut akan merencatkan segala pelan pertumbuhannya sedangkan Johor memerlukan prasarana berkelas dunia untuk menjadi kuasa ekonomi baru Malaysia,” katanya.

Khaled menegaskan, jika alasan pembatalan itu kerana kedudukan kewangan negara sangat mendesak, kerajaan wajar mengambil pendekatan merunding semula projek tersebut dengan Singapura agar ia dapat ditangguhkan ke suatu masa mengizinkan.

“Haruslah diambil kira kos melaksanakan projek sedemikian juga akan meningkat berkali-kali ganda jika dilaksanakan pada masa akan datang.

“Pendek kata, tidak akan ada masa yang boleh dianggap sempurna untuk melakukan projek mega seperti HSR. Ia satu keperluan, dan keperluan seperti ini tidak sewajarnya dijadikan korban politik,” ujarnya.

Khaled berkata pembatalan HSR juga tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak kerajaan Johor, dan Umno Johor kesal dengan sikap Menteri Besar Datuk Osman Sapian yang dilihat tidak bersungguh-sungguh bersuara dalam perkara melibatkan kepentingan negeri berkenaan.

Beliau berkata Menteri Besar Johor bukan sahaja tidak memberi kenyataan rasmi tetapi langsung tidak mempeduli untuk mengemukakan pendirian kerajaan Johor berhubung perkara itu, sedangkan HSR merupakan projek mega melibatkan kepentingan Johor secara langsung pada skala besar.

“Sekiranya kerajaan negeri terus bersikap hanya menerima dan akur sahaja akan segala keputusan kerajaan persekutuan tanpa mengambil kira pandangan kerajaan negeri, sudah pastilah suara dan kehendak rakyat Johor akan sukar untuk diperjuangkan,” katanya. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit