Kenapa Rakyat Perlu Bimbang Kenyataan-kenyataan Manipulasi Kerajaan PH?

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru sahaja memegang tampuk pemerintahan negara kira-kira tiga minggu yang lalu tetapi pemimpin-pemimpin mereka telah tampil dengan pelbagai kenyataan yang mampu memberi kebimbangan kepada rakyat mengenai pembangunan dan pertumbuhan negara.

Menurut Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, jika diperhalusi dan dirumuskan bagi minggu lalu sahaja terdapat empat kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan PH yang meruntun jiwa rakyat antaranya seperti kenyataan Perdana Menteri Ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata jangan risau sekiranya taraf kredit Malaysia diturunkan.

Tetapi menurut Unit Komunikasi Strategik parti itu, kenyataan seperti itulah yang perlu dibimbangi.

“Penurunan peringkat penarafan kredit akan membawa pelabur asing keluar dari pasaran saham dan pasaran bon Malaysia.

“Ini akan meningkatkan kadar faedah dan kos pembayaran balik hutang negara juga akan meningkat sebanyak RM10 bilion setahun, manakala rakyat biasa akan menghadapi kadar faedah yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Begitu juga dengan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung hutang negara kini berjumlah RM1 trilion yang perlu semua rakyat bimbangi.

“ini adalah kenyataan politik dan tidak benar. Guan Eng menyatakan hutang rasmi bersama-sama dengan pembayaran pajakan dan liabiliti luar jangka, satu langkah yang tidak mematuhi piawaian antarabangsa dan tidak tepat.

“Bukan sahaja ini akan menakutkan pasaran kewangan yang telah menyumbang kepada pasaran saham yang jatuh merudum selama beberapa hari pada akhir dan kelemahan Ringgit Malaysia, malah boleh digunakan sebagai alasan bagi Kerajaan PH untuk tidak menyampaikan janji manifestonya,” tegas kenyataan tersebut lagi.

Ketiga, berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir yang membatalkan projek Rel Keretapi Laju (HSR) adalah keputusan muktamadnya serta rakyat Singapura sudah meluat dengan kerajaan mereka.

“Mengapa kita perlu bimbang? Projek HSR adalah salah satu sebab mengapa agensi antarabangsa meningkatkan ramalan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Membatalkan projek ini mungkin bermakna ramalan pertumbuhan KDNK akan diturunkan, menyebabkan lebih ramai pelabur menarik balik perancangan mereka untuk melabur di Malaysia.

“Kenyataan konfrontasi terhadap Singapura dan kekurangan rasa hormat secara tidak sengaja membatalkan HSR menerusi sidang akhbar tanpa memaklumkan Kerajaan Singapura terlebih dahulu hanya akan membawa kepada dasar yang tidak baik oleh Singapura serta memberikan kesan negatif kepada rakyat Malaysia yang bekerja di sana atau membuat dasar perdagangan yang merugikan kita,” ujarnya.

Manakala terakhir yang perlu rakyat bimbangi adalah berhubung kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin yang berkata tiada gunanya mempunyai pertumbuhan 10% kerana harga yang lebih rendah adalah apa yang rakyat mahu.

“Nampaknya kerajaan bersedia untuk mengorbankan pertumbuhan KDNK untuk kos sara hidup yang rendah. Pertumbuhan KDNK memperluaskan ekonomi dan memperluaskan peluang bagi kita semua. Pertumbuhan KDNK mencipta pekerjaan dan menimbulkan pendapatan.

“Adakah kita benar-benar mahu mempunyai gaji yang rendah dan pekerjaan yang lebih rendah sebagai balasan untuk kos sara hidup yang rendah? Bukankah ini masalah sebenar Malaysia ketika Dr Mahathir bersara sebagai PM (Keempat) pada tahun 2003?,” soal unit tersebut.

Justeru katanya, rakyat harus sedar tentang apa yang berlaku di negara ini kerana perubahan kepada kerajaan yang baharu tidak bermakna kita perlu membiarkan diri hanya menjadi pak turut saja.

“Kita perlu ada harga diri dan bukan seperti kerbau yang dicucuk hidung.

“Akhirnya, keutamaan kita seharusnya kepada kuasa beli, pekerjaan, pelaburan, ekonomi dan masa hadapan yang dipertaruhkan, tidak kira siapa yang menjadi kerajaan,” katanya. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.