UMNO Johor Gesa K’jaan Negeri Semak Keputusan Tamat Perkhidmatan Ketua Kampung

JOHOR BAHRU, 30 Mei – UMNO Johor menggesa kerajaan negeri menyemak semula keputusan menamatkan perkhidmatan ketua kampung dan ketua masyarakat di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata arahan penamatan perkhidmatan mereka yang berkuat kuasa esok dibuat melalui surat menteri besar bertarikh 28 Mei.

Mohamed Khaled dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata tindakan itu memeranjatkan banyak pihak kerana mereka hanya diberi notis dua hari menyebabkan ia dilihat tergesa-gesa, bermotif dendam dan tiada justifikasi kukuh.

Beliau berkata sekiranya tindakan diambil atas dasar hendak mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri seperti yang dilakukan kerajaan persekutuan, ia tidak munasabah kerana Johor mempunyai bajet lebihan.

Mohamed Khaled berkata Kerajaan Johor tidak seharusnya menjadikan ketua kampung dan ketua masyarakat sebagai entiti politik yang boleh dicantas dan dibuang tanpa sebab secara tidak bertanggungjawab.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai sangat bermotifkan politik, terburu-buru dan tidak profesional.

Beliau berkata berbeza dengan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) atau Biro Tatanegara (BTN), ketua kampung dan ketua masyarakat tidak mempunyai kepentingan politik dan hanya fokus kepada khidmat kepada masyarakat setempat.

Menurutnya penamatan mengejut dan serta-merta itu tidak ubahnya seperti hendak menunjuk kuasa kepada pemimpin peringkat rendah dalam masyarakat.

“Ini adalah satu tindakan yang angkuh dan tidak wajar. Lebih-lebih lagi, penamatan mengejut dan serta-merta tersebut dilakukan tanpa melakukan sebarang penilaian yang telus atau semakan prestasi yang objektif terhadap ketua-ketua kampung dan ketua masyarakat.

“Perkara ini jelas bermotifkan dendam dan politik terutamanya notis penamatan perkhidmatan tersebut disertakan dengan permohonan cadangan bagi pelantikan ketua kampung atau ketua masyarakat yang baharu,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.