Keputusan PRU-14 Bukti UMNO Masih Diterima Rakyat Namun Perubahan Perlu Dilakukan Secara Tuntas

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, UMNO masih lagi sebuah parti yang diterima rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Jelas beliau, keputusan tersebut ternyata membuktikan bahawa parti keramat ini masih relevan namun sudah pasti natijah daripada kekalahan dalam pilihan raya yang lalu, UMNO harus melakukan perubahan dan penambahbaikan.

“Berdasarkan keputusan pilihan raya, akuilah bahawa UMNO masih relevan dan diterima rakyat tetapi UMNO mesti berubah. Saya yakin dan percaya, sekiranya kita melakukan perubahan dalam semua aspek kepimpinan parti, sudah pasti UMNO akan pulih dan akan bangkit menjadi parti yang penting dalam negara ini.

“Memang kita kena berpijak di bumi yang nyata bahawa kita telah kalah pada PRU-14 tetapi kita harus segera bangkit dari apa yang telah kita lalui.

“Kita telah lihat banyak parti terkemuka di dunia seperti di India, di Thailand… pernah kalah tapi bila kalah mereka buat perubahan, mereka melakukan kebangkitan semula akhirnya menjadi parti yang lebih hebat dari sebelum itu,” jelas beliau kepada UMNO-Online.

Justeru tegas Shamsul, semua pihak harus berkeyakinan bahawa UMNO masih sebuah parti yang terbaik dan mampu membawa kebaikan kepada rakyat.

Beliau turut melahirkan harapan agar akar umbi parti di semua peringkat terus bersatu, seia dan sekata dalam berhadapan dengan cabaran membina kembali parti UMNO.

“Apa yang berlaku ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah parti kita maka kita harus sepakat bersama-sama menghadapi keadaan ini. Jadi yakinlah, jika kita bersepakat dan yakin dengan perjuangan kita dengan meletakkan pentingan parti lebih dari lain maka kita akan bangkit dan jadi parti yang lebih hebat.

“Ini sedang dilakukan… mari bersama-sama dengan pemimpin yang diberi amanah, yang lepas kita jadikan pengajaran untuk kita bangkit dengan lebih gagah pada masa akan datang,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.