Tumpu Membela Rakyat, PH Berhenti Bersandiwara


KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta segera hentikan sandiwara kerana rakyat pasti tidak mahu seolah-olah mereka hanya wujud untuk memperkudakan isu.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO melihat rakyat Malaysia semakin bimbang dengan hasrat kerajaan PH yang semakin tidak ketentuan dalam membuat keputusan membabitkan ekonomi negara termasuk terperangkap dalam pelbagai cadangan pihak tertentu yang tiba-tiba timbul termasuklah menjual 25 peratus pegangan dalam Petronas bagi melunaskan hutang 1MDB dan hutang luar yang diwar-warkan RM1 trilion.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) selari dengan kebimbangan rakyat dan kecewa jika kerajaan PH terjerumus dalam tindakan tidak wajar dan bertindak di luar kawalan dengan menggunakan GLC atas kepentingan pihak tertentu.

“BN dan UMNO tidak bersetuju dengan apa saja alasan jika kerajaan berhasrat menjual 25 peratus pegangan di dalam Petronas untuk melunaskan hutang yang sering dipolitikkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Soalnya, apa tujuan sebenar dan apakah maksud terlindung kepada hasrat yang dikemukakan secara tiba-tiba itu?

“Jika idea itu digunakan, apakah kerajaan sudah ketandusan idea untuk mentadbir ekonomi Malaysia yang mendapat penarafan tinggi daripada agensi-agensi antarabangsa seperti Standard & Poor’s, Moody’s dan Fitch?

“Berhentilah daripada mempolitikkan hutang luar negara.”

Katanya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sendiri mengesahkan bahawa hutang negara cuma RM686.8 bilion dan bukannya RM1 trilion.

“Kerajaan sepatutnya memikirkan cara bagaimana untuk meningkat prestasi Petronas di dalam dan luar negara, menambah pegangan asing dan menaikkan pendapatan, daripada mengambil jalan mudah mencari wang untuk mengkotakan janji-janji di dalam manifestonya. Lebih malang ialah mewar-warkan jumlah hutang yang tinggi untuk menutup kegagalan dalam memenuhi permintaan rakyat.

“UMNO beranggapan kerajaan PH tidak ada ahli yang dapat berfikir secara ‘outside the box’ atau di luar kotak bagi memenuhi janji manifesto ini, kecuali mengambil jalan mudah.

“Mereka gagal ataupun enggan mengiktiraf sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus, unjuran yang dibuat oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, enggan menerima hakikat bahawa aset 1MDB mampu membiayai hutangnya sendiri dan fakta bahawa defisit fiskal kita menurun daripada 3.0 peratus kepada 2.8 peratus.”

Bidasnya, kalaulah benar hasil jualan saham Petronas sebanyak RM200 bilion itu dikhaskan untuk membayar hutang negara, dari mana pula lebihan RM800 bilion akan diperolehi untuk mencukupkannya?

“Apakah PH bercadang pula menjual saham dalam dalam syarikat gergasi lain atau menswastakan sebahagian agensi yang ada? Apakah kerajaan akan menjemput penyertaan (atau lebih tepat lagi campur tangan asing) ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ada. Mungkin juga PH boleh memikirkan sebahagian pemilikan di dalam Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd misalnya, dicagarkan pula kepada entiti asing.

“Barangkali tenaga profesional di dalam PH hanya berfikir dalam ruang lingkup mereka sendiri, dan enggan berfikir secara rasional dengan ahli ekonomi antarabangsa. Bukankah ini cara mereka sebelum ini, iaitu meminta bantuan pakar asing?

“Bagaimana pula seorang yang kes rasuahnya masih belum selesai, boleh bercakap mengenai rasuah 1MDB, hutang negara yang direka-reka angkanya dan soal unjuran ekonomi?”

Ujarnya, kesediaan kerajaan menghapuskan GST yang setakat ini memperkukuhkan perolehan negara sebanyak RM44.3 bilion berbanding hanya RM 18 bilion di bawah SST tahun 2014 serta hutang PTPTN berjumlah RM45 bilion, mencerminkan betapa hutang RM1 trilion rekaannya tidak langsung memberi kesan negatif kepada rakyat dan negara.

“Dalam pentadbiran BN sebelum ini, hutang kerajaan diurus dengan baik malah kerajaan BN sebelum ini belum pernah gagal melunaskan pembayaran hutang dan pada masa yang sama mampu memacu perkembangan ekonomi negara dengan pesat.

“Oleh itu, berhentilah segera sandiwara ini supaya FDI tertinggi dalam sejarah diraih oleh BN dahulu tidak terus ditarik keluar, pasaran saham menjunam dan nilai matawang terus jatuh.

Selarnya lagi, janganlah menyembunyikan kelemahan kerana kelemahan yang ada ini mudah dihidu oleh rakyat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.