Mansuh MPN, SPAD, JASA, JKKK : Kerajaan PH Tayang Kuasa, Lunas Dendam

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan seluruh rakyat, bukannya menayangkan kuasa secara membuat keputusan yang tidak rasional, kata Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO

Baginya, keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Majlis Profesor Negara (MPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal-Ehwal Khas (JASA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah tidak wajar sama sekali.

“Keputusan yang diambil pada mesyuarat pertamanya pada 23 Mei itu lebih berupa satu bentuk ‘hukuman’ kepada rakyat, khasnya JKKK yang selama ini memayungi mereka sebagai institusi yang menguruskan segala masalah setempat.

“Dakwaan kononnya agensi terbabit digunakan sebagai alat politik adalah tidak benar sama sekali kerana ia adalah agensi pemudah-urus kerajaan bagi memastikan pentadbiran setiap ceruk negara dipantau.”

Katanya, SPAD misalnya, ditubuhkan khas bagi memantau sistem pengangkutan awam darat dan tidak timbul sebarang pertindihan dengan fungsi Jabatan Pengangkutan Jalan atau JPJ.

“Mungkin ada kebenaran bahawa kerajaan dapat menjimatkan kira-kira RM500 juta setahun dengan pemberhentian semua kakitangan agensi-agensi terbabit tetapi pada waktu yang sama merancang pembubaran tol yang menurut Moody’s akan membabitkan pampasan yang terlalu tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, JKKK yang sudah wujud di bawah pentadbiran Dr Mahathir pada era 80-an telah banyak menabur bakti kepada masyarakat.

“Begitu juga dengan JASA. Kenapa baru sekarang Dr Mahathir menyedari ‘kesilapan dan kelemahannya’, jika ada?

“Kita kesal kerana di saat pekerja di agensi-agensi terbabit akan menyambut Aidilfitri, mereka ‘dihadiahkan’ dengan keputusan yang sama sekali menutup periuk nasi mereka.

“Kami merasakan adalah wajar pekerja terbabit diserapkan ke jabatan dan agensi lain kerajaan, dan tidak sekadar membiarkan mereka hilang sumber pendapatan dalam sekelip mata.”

Ingatlah, katanya, kita berkhidmat untuk rakyat dan rakyat sudah memilih PH sebagai wakil kepada suara mereka.

“Jika inilah balasannya, tidak salah untuk mengatakan kerajaan yang ada ditegakkan kerana dendam dan bukannya sebagai pelindung mereka,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit