Mesyuarat Cawangan Platform Terbaik Untuk Membina Semula Parti Keramat UMNO

PEKAN, 24 Mei – Ketua Pemuda UMNO bahagian Pekan, Datuk Shahruddin Ahmad berkata, semangat luar biasa diperlukan ketika ini untuk UMNO bangkit dan terus berjuang bagi membina semula keruntuhan parti selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Jelas beliau, semua pihak harus bangkit khususnya di peringkat akar umbi bagi menyusun semula jentera, merapatkan saf di peringkat paling bawah, kemudian ke peringkat bahagian, negeri dan seterusnya ke peringkat pusat. 

“Kita perlu bangkit semula… semangat jitu, setiakawan dan semangat luar biasa diperlukan waktu ini untuk kita bangun dan berjuang dan terus membela rakyat dengan platform UMNO ini.

“Mesyuarat cawangan yang telah bermula ini adalah satu platform terpenting dan terbaik untuk dimanfaatkan bagi memulihkan semangat semua ahli UMNO bagi terus berjuang membela parti keramat ini,” ujar beliau kepada UMNO.

Setelah hampir 61 tahun memegang tampuk pemerintahan kerajaan, Barisan Nasional (BN) akur dengan kekalahan mengejut pada PRU-14 9 Mei lalu.

Pilihan raya tersebut menyaksikan rakyat menyerahkan mandat kepada gabungan parti di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dap dan Parti Amanah Negara.

Pada PRU-14, BN sekadar memenangi 78 kerusi daripada keseluruhan 222 Parlimen. Jumlah itu tidak cukup untuk membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti mudah iaitu 112 kerusi.

Walaupun tewas pada pertandingan peringkat Parlimen, BN masih kekal memerintah Perlis dan Pahang apabila berjaya mendapat majoriti mudah di Dewan undangan Negeri (DUN). – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit