Beri Gambaran Negatif, Arul Sangkal Dakwaan Guan Eng

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Arul Kanda menafikan sekeras-kerasnya serangan yang berpotensi memfitnah dan bersifat peribadi terhadapnya sebagaimana dilemparkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Justeru, atas kapasiti peribadinya bukan sebagai Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul telah mendapatkan nasihat undang-undang dari peguamnya mengenai pilihan yang beliau ada bagi tindakan seterusnya.

“Seperti yang telah saya lakukan pada masa lalu, saya komited untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan berdasarkan pengetahuan terbaik saya kepada sebarang siasatan yang berterusan atau baru mengenai perkara berkaitan 1MDB.

“Semasa mesyuarat, merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan, saya ditanya banyak soalan, yang mana dari apa yang saya ingat, saya telah jawab dengan jujur dan dengan paling baik sekali tetapi tanpa mempunyai dokumen sokongan bersama saya pada masa itu.

“Oleh itu, saya menjawab semua soalan dengan sebaik mungkin, dengan benar dan pengetahuan terbaik saya berdasarkan apa yang saya ingat dari rekod syarikat, pengetahuan peribadi saya (atau kekurangan pengetahuan tentangnya), dan apa yang saya ingat tentang maklumat yang diberikan oleh pegawai di syarikat,” katanya dalam satu kenyataan balas di sini hari ini, berhubung kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Guan Eng pada 23 Mei 2018.

Arul turut berpandangan adalah tidak adil bagi menteri untuk mengeluarkan kenyataan awam, yang tidak sepenuhnya dan dengan tepat mewakili bagaimana soalan-soalan itu telah ditanya dan dijawab.

“Keadaan saya dan konteks jawapan saya dengan mudah tidak dimasukkan sehinggakan ia menghasilkan gambaran yang tidak benar dan memberikan gambaran negatif tentang saya.

“Tidak boleh dipertikaikan bahawa saya menyertai 1MDB hanya pada bulan Januari 2015, iaitu selepas tindakan pengurusan dan lembaga sebelumnya yang mengakibatkan 1MDB mengumpul beban hutangnya, dan selepas banyak projek 1MDB berada dalam keadaan bermasalah.

“Pendek kata, saya hanya menyertainya selepas berlakunya apa yang dikatakan sebagai salah laku yang disebut dalam Laporan PAC 1MDB, Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dan saman sivil DOJ,” tegasnya.

Tambahan pula, beberapa pihak berkuasa tempatan telah menjalankan dan masih menjalankan siasatan terhadap 1MDB, ujarnya lagi.

“Isu-isu tertentu yang berkaitan dengan dana pelaburan 1MDB (termasuk yang bertanggungjawab untuk pelaburan asal dan pengurusannya yang berterusan) telah diberi perhatian sejak tahun 2015, dan kemudiannya dikemaskini, bukan hanya kepada pihak berkuasa yang menyiasat, tetapi juga kepada Lembaga dan Pemegang Saham.

“Fokus saya adalah sentiasa pada rasionalisasi perniagaan syarikat itu,” katanya. – Media UMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit