Semangat Juang Tak Luntur, Pemimpin Parti Suntik Semangat Ahli UMNO Akar Umbi – Ahmad Razif


KUALA LUMPUR, 23 Mei – Pengerusi Perhubungan UMNO  Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, biarpun UMNO dan Barisan Nasional menerima kekalahan besar yang mengejutkan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu, namun beliau melihat semangat perjuangan ahli-ahli UMNO masih tinggi dan menerima kekalahan itu dengan pemikiran dan sikap yang positif.

Menurut beliau, tindakan pantas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku pemimpin tertinggi parti bertemu dengan saf kepimpinan di peringkat negeri dan akar umbi sudah cukup untuk menjadi penyuntik semangat meneruskan perjuangan bagi mengembalikan kepercayaan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.

“Apa yang telah berlaku telah pun berlaku, kita sudah tak boleh mahu undurkan masa lagi. Jadi sebagai ahli UMNO, kita kena hadapi semua ini. Bagaimanapun tindakan drastik dua pemimpin ini seolah-olah menyuntik semula semangat kepada para pejuang UMNO di peringkat akar umbi.

“Saya yakin dan percaya, dengan suntikan semangat yang diberikan oleh kedua-dua pemimpin itu, dan ditambah lagi bahawa semangat orang UMNO yang masih tinggi untuk memulihkan semula UMNO itu sendiri, usaha penambahbaikan di dalam UMNO akan berlaku,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Bagaimanapun, disebalik segala usaha dan semangat itu, apa yang lebih penting menurut Razif ialah ahli-ahli UMNO perlu bersatu hati, bermuafakat dan juga berganding bahu di antara satu sama lain.

“Jangan kita saling salah menyalahkan antara satu sama lain dalam saat-saat yang menguji seperti ini. Lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin kerana kita mengharapkan mereka ini berjiwa besar supaya tidak mengambil tindakan drastik seperti meletakkan jawatan dan sebagainya.

“Ini kerana dalam saat-saat begini, dengan tidak ada apa-apa kuasa, tidak ada keistimewaan, memang amat sukarlah sebenarnya untuk kita mencari pemimpin yang betul-betul setia dan ikhlas. Jadi, sebenarnya apa yang terjadi ini adalah ujian untuk kita dan saya berdoa semoga UMNO dapat dipulihkan segera dengan kebangkitan yang lebih baik dari sebelum ini, Insya-Allah,” jelasnya.- MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.