Mesyuarat Cawangan Peluang Terbaik Perbetul Tekad Perjuangan UMNO – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyeru seluruh ahli menggunakan mesyuarat di peringkat cawangan yang akan bermula tidak lama lagi sebagai peluang yang terbaik untuk memperbetulkan tekad perjuangan UMNO.

Beliau berharap seluruh ahli memanfaatkan ruang dan kesempatan dalam mesyuarat tersebut untuk bermuhasabah dan perbaiki setiap kekurangan serta kelemahan yang ada pada diri masing-masing

“Yang lebih penting, mesyuarat tersebut bukanlah tempat untuk kita berhentakkan, menuding jari dan bergaduh sesama sendiri.

“Rapatkan barisan dan binalah kembali kepercayaan antara satu sama lain. Bersama-sama kita kembali menguatkan parti kita, perubahan harus berlaku, dan ia mesti bermula sekarang”, katanya dalam satu siaran facebook miliknya di sini, hari ini.

Jelas beliau setelah seminggu berlalu UMNO kini meniti episod perjuangan yang baharu.

Tambahnya medan perjuangan yang tidak sama seperti dahulu dan realiti ini harus dihadapi dengan tabah, bersatu-padu dan penuh tekad.

“Walau apapun, kita harus redha dan akur dengan ketentuan-Nya. Tewas bukanlah bermaksud pengakhiran kepada segalanya. Ketewasan ini menuntut kita untuk bangkit, melangkah ke hadapan dengan lebih bermaruah supaya kita dapat menebus dan menginsafi kesilapan lalu.

“Di sebalik dugaan ini, ia juga memberikan kita peluang untuk melihat sendiri wajah sebenar siapa kawan, siapa lawan, siapa musang berbulu ayam. Yang kekal bersama, itulah pejuang sebenar yang sudi mengangkat perjuangan ini kembali ke tempat asalnya”, ujar beliau.

Maka, di atas kesedaran dan keinsafan inilah, tegasnya UMNO tidak boleh sesekali mengalah dan menyerah.

“Sebaliknya, kita harus bertekad untuk bangkit dan bergerak ke depan demi memulihkan parti yang kita cintai. Dalam usaha pemulihan ini, harus kita gunakan segenap ruang dan peluang, bermula dengan perkara paling asas iaitu pergerakan di peringkat akar umbi.

“Selagi saya masih bernafas dan waras, saya akan mengerah seluruh kudrat dan kemampuan yang saya ada untuk membantu parti kita ini kembali ke landasan perjuangannya yang sebenar. Akhir kata, marilah kita sama-sama memanjatkan doa, semoga Allah SWT sentiasa memberkati dan mempermudahkan segala urusan parti kita ini dalam mendepani hari-hari mendatang. InsyaAllah”, katanya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.