Kelangsungan Politik UMNO Berpaksikan Sokongan Padu Ahli – Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas  presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kelangsungan politik UMNO hari ini berpaksikan kepada sokongan padu ahli pelbagai peringkat dan keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan parti.

Menurut beliau hilangnya penguasaan UMNO sebagai kerajaan samalah seperti kerosakan sebuah rumah agam dengan hampir terbakar hangus tetapi tiang serinya tetap kukuh dan ahli parti perlu memperbaiki segera segala kerosakan untuk dibina semula rumah berkenaan.

“Warga UMNO perlu segera insaf bahawa kita sedang melalui fasa getir. Pelayaran dan perjalanan politik kita masih jauh namun ianya bukanlah fasa terakhir. UMNO perlu diperbaiki dengan beberapa pendekatan termasuk kita yang mentadbir organisasi di semua peringkat dan hapuskan segala nostalgia politik. Perubahan sikap dan kualiti kepimpinan di semua peringkat amat memerlukan perubahan drastik demi perjuangan dan survival bangsa.

“UMNO harus disusun semula dan ini akan membolehkan UMNO tetap relevan sebagai sebuah organisasi politik yang insya-Allah sekali lagi boleh memayungi bangsa Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Kita perlu bermuhasabah dengan memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan kita selama ini dan proses pemulihan mesti bermula daripada peringkat atasan sehingga ke bawah,” katanya dalam sidang media khas bersama UMNO-Online, di sini, hari ini.

Turut serta Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO. Terdahulu sebelum itu kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan perjumpaan tertutup bersama Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Pulau Pinang.

Zahid seterusnya menegaskan, UMNO menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan berlapang dada dan menghormati prinsip demokrasi.

“Sejak 14 Mei lalu saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan mengadakan pertemuan khas dengan 11 badan perhubungan negeri, tiga sayap UMNO  dan  lain–lain dalam usaha menjadikan UMNO terus relevan dan bangkit semula.

“Kita harap ahli-ahli UMNO di semua peringkat dapat terus memberikan keyakinan kepada kepimpinan parti untuk kesinambungan terhadap kelangsungan UMNO di persada politik negara,” katanya.

Jelasnya, UMNO perlu muhasabah diri dan memperbaiki segala kekurangan selama ini dan proses pemulihan mestilah bermula dari peringkat atas hingga ke bawah iaitu pusat, negeri, bahagian dan cawangan.

“Setiap ketua cawangan wajib bersikap berlapang dada dan bijak menguruskan pandangan yang berbeza daripada ahli yang kini mahukan pembaharuan segar,” ujarnya.

Katanya. ahli parti perlu ‘fine tune’ dan sedar untuk menjadi pembangkang yang konstruktif dan efektif di setiap negeri.

“Hapuskan ‘political liability’,  tanggung kerugian yang sedang kita lunaskan pembayarannya dan sekali lagi saya minta ahli UMNO di semua peringkat agar memberikan dokongan kepada seluruh kepimpinan parti dan yakinklah bahawa apa yang berlaku ini pasti ada hikmahnya.

“Sesungguhnya dalam kejayaan itu ada kegagalannya, dalam kegagalan itu pasti ada kejayaan. Kegagalan ini insya-Allah akan membuka banyak pintu peluang kejayaan lain jika kita benar-benar istiqamah dan bekerja keras untuk menggapai semula kejayaan.

“Bersatulah, bangkit UMNO, ketepikan titik bengit yang ada pada kita dan masa untuk bernostalgia telah berlalu. Hadapilah realiti yang berada di depan kita. Mari kita bangkit. UMNO  bangkit,” katanya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit