Bangkit Kembali Bina Parti Dari Keruntuhan, Aplikasi Mesyuarat Cawangan Suntik Semangat

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru agar semua ahli UMNO untuk bersama-sama kekal bersatu meneruskan perjuangan bagi terus memartabatkan maruah agama, bangsa dan tanah air.

Jelas beliau, hanya orang yang benar-benar sayangkan UMO akan faham apa perjuangan UMNO dan akan terus kekal dalam parti keramat ini walaupun UMNO tewas dalam PRU-14 yang lalu. 

“Saya yakin orang UMNO akan terus berjuang, saya harap dengan krisis yang sedang kita hadapi ini di mana setelah 13 kali kita lalui pilihan raya dan kita menang, kali ke 14 kita tewas maka mari kita sama-sama bina parti ini dari keruntuhan.

“Kita kutip batu-bata dan susun bersama-sama supaya ia jadi satu tembok yang baru dan lebih kuat serta kukuh dan akan dapat menahan apa juga yang mendatang,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru beliau menyeru kepada semua orang UMNO untuk bersama-sama menjayakan mesyuarat cawangan yang bakal berlangsung pada 19 Mei sehingga 10 Jun ini agar ia dapat menyuntik semangat di peringkat akar umbi untuk terus bersatu bagi memastikan UMNO terus kukuh dan kuat sepanjang masa.

“Lima tahun tidak lama.. pejam celik pejam celik kita akan berhadapan semula dengan pilihan raya, jadi saya harap kita susun semula gerak kerja dan ukhuwah semasa kita. Jangan sesekali kita berpecah.

“Mereka yang keluar itu biasalah… mereka masuk UMNO untuk meninjau peluang dan jawatan. Bila UMNO tidak ada kuasa merekalah yang pertama akan keluar. Jangan risau… jangan gundah gulana. Kita kena harus terus bergerak.

“Saya menyeru kepada orang UMNO khususnya di Negeri Sembilan supaya susun semula gerak kerja kita, strategi kita dan kita ambil iktibar dari apa yang melanda parti kita untuk kita terus bangkit,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit