Wanita UMNO Hormati Keputusan Datuk Seri Najib, Rakam Penghargaan Atas Sumbangan


KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pergerakan Wanita UMNO mengucapkan terima kasih dan menghormati serta menerima keputusan Presiden Parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata Datuk Seri Najib telah berkhidmat di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga semasa beliau sendiri menjadi Perdana Menteri, telahpun memberikan sumbangan kepada negara.

“Wanita UMNO menerima dengan tenang keputusan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan dan kepimpinan negara. Oleh itu, setiap ahli UMNO juga perlu muhasabah diri bagi membolehkan pembaharuan dan perubahan yang dituntut oleh rakyat turut dilaksanakan di dalam UMNO.

“Wanita UMNO berharap mandat yang diberikan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO untuk menjalankan tugas Presiden UMNO, dibantu oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Presiden UMNO, untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden akan dapat memberi kepimpinan yang jitu kepada UMNO dan menentukan kestabilan dalam UMNO dapat dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada umno-online, di sini hari ini.

Katanya lagi Wanita UMNO selaku ibu berdoa agar rakyat dan negara ini sentiasa di bawah perlindungan dan rahmat Allah SWT.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit