BN Johor Percaya Keputusan Rakyat Dibuat Berasas Kesedaran
JOHOR BAHRU, 10 Mei – Barisan Nasional (BN) Johor percaya keputusan rakyat dalam memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dibuat dengan penuh kesedaran kerana rakyat mengharapkan kerajaan yang lebih baik.
Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata seluruh jentera parti termasuk sukarelawan dan penyokong sudah berusaha sehabis baik yang mungkin untuk berkhidmat kepada rakyat, namun, suara demokrasi rakyat harus dihormati sebaiknya.
“Saya percaya bahawa daripada mula, seperti yang saya kata, negara…negeri ini adalah negeri dan negara demokrasi dan sentiasa menjadi negeri, negara yang mengamalkan demokrasi.
“…dan untuk menjadi kerajaan, wakil rakyat pemerintah, ia ditetapkan dan ditentukan oleh rakyat dan kita mesti sentiasa bersedia untuk terima perkara itu. Rakyat sudah membuat keputusan mungkin atas pelbagai alasan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media BN Johor di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata pihaknya menerima keputusan PRU itu dengan hati terbuka dan seluruh pasukan BN Johor akan memberikan kerjasama sehabis baik untuk memastikan peralihan kerajaan negeri dapat berjalan lancar, segera dan tenang.
Bekas Menteri Besar Johor itu turut mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Pakatan Harapan (PH) yang berjaya membentuk kerajaan negeri, namun, berharap gabungan itu dapat memberikan yang terbaik ke arah kesejahteraan dan kepentingan negeri Johor dan seluruh Bangsa Johor.
“Kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada kerajaan baharu dan usaha mereka untuk melihat Johor terus maju dalam membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat,” katanya.
Ditanya mengenai kekalahan beliau di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri Permas, Mohamed Khaled berkata ada hikmah di sebalik kekalahan itu dan akan memperkatakan lebih lanjut mengenainya pada satu hari nanti.
Mengenai kekalahan BN Johor, beliau menegaskan parti akan melakukan bedah siasat dan kajian mengenainya sebelum menentukan hala tuju selanjutnya.
Keputusan PRU14 menyaksikan PH memenangi 36 daripada 56 kerusi negeri, sekali gus memberi laluan selesa membentuk kerajaan negeri yang baharu.
BN Johor sekadar menang 19 kerusi manakala PAS, satu kerusi sahaja.
Daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, BN hanya memenangi lapan kerusi iaitu Pengerang, Kota Tinggi, Mersing, Ayer Hitam, Parit Sulong, Pontian, Sembrong dan Tenggara.